1/23/2012

Salah

Jarang kita bertemu orang yang suka disalahkan. Apatah lagi jika kesalahan itu diulang-ulang. Itu pada saya fitrah.

Namun, kenyataan itu tak beerti kita tak mungkin berbuat salah. Berbuat salah juga adalah fitrah. 

Ketika ada konflik, saya selalu akan cuba melihat diri sendiri terlebih dahulu. Apakah memang ada silap di pihak saya. Ini tidak menjadikan saya secara automatiknya bersalah. Jika pihak yang berkonflik dengan saya bersalah, melihat diri sendiri terlebih dahulu adalah satu kekuatan untuk diri. 

Pertama, tidak perlu runsing kerana kita tahu pihak lain bersalah, atau lebih bersalah. 
Kedua, ia mengendurkan sikap berlebihan dalam menyalahkan  orang lain. Maksudnya kita menegaskan benteng sabar dalam diri. 
Ketiga, ia membantu kita menimbang segala persoalan yang akan berbangkit dalam proses 'rundingan'.

Saya selalu percaya sabda Rasulullah s.a.w. agar kita tidak membuat keputusan ketika marah. Ia sukar, tetapi mempunyai hikmahnya tersendiri. Cubalah!

1/21/2012

Politik mahasiswa

Mahasiswa yang mengaku tidak mahu berpolitik tetapi mengutuk mahasiswa yang berpolitik sebenarnya hanya menegaskan bahawa mereka sedang berpolitik. Jenis politik mereka ialah diam dan tunduk kepada yang berkuasa, baik atas maksud yang benar atau salah. Hujah-hujah bahawa mereka perlu belajar itu hanya boleh diuji dengan keputusan peperiksaan mereka - kelas pertama atau tidak. Kemudian, apa jadi pada mereka selepas 10-20 tahun, dan apa yang menjadikan mereka begitu. Ada juga mahasiswa yang berasa berada di kelas tersendiri dengan terlibat dengan politik. Bagi mereka, mahasiswa yang tidak berpolitik "tidak cukup syarat". Saya fikir eloklah bersederhana. Bukan semua harus berjihad. Ada yang perlu menuntut ilmu. Kita harapkan mereka menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh kerana ilmuwan tidak hanya tahu mengajak orang menuntut ilmu tetapi tahu juga memberi dorongan kepada mereka yang berjihad tadi. Bukankah ilmu itu akhirnya menuntut amal?

1/14/2012

Konvensyen Pakatan Rakyat

Saya menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat di Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti, Kedah.

PKR-PAS-DAP sebagai parti yang membentuk Pakatan Rakyat ternyata membawa dimensi baru dalam hubungan politik-ekonomi-sosial di Malaysia. Memang ia tidak sempurna, tetapi jalan panjang untuk reformasi bermula dengan langkah pertama.