Saya harus terus terang bahawa saya tidak pernah membaca Interlok, novel karya Abdullah Hussain yang diterbitkan pada tahun 1996 dan kini menjadi kontroversi disebabkan tuntutan sebahagian segmen masyarakat India di Malaysia.
Kontroversi ini, setakat yang difahami, berpunca daripada apa yang disifatkan sebagai 'kandungan yang menghina kaum India'. Protes ini telah membawa kepada acara membakar buku.
Saya fikir kita perlu jelas. Pertama, bakar buku bukan kerja orang bijak. Bakar buku adalah sama dengan kerja mengharamkan buku, menghalang penulis menulis atau mengharamkan orang bercakap.
Masyarakat memang ada yang tidak rasional. Memang ada yang suka membiarkan diri mereka lekas terpengaruh dengan apa juga maklumat yang selalunya telah mereka persetujui sebelumnya.
Interlok ialah karya sastera. Ia merupakan buah fikir penulis yang mengungkap realiti tanggapannya. Sebagaimana idea daripada penulisan atau percakapan, ia tidak sunyi daripada suara tidak setuju, bantahan atau pembelaan. Selagi mana ia dilakukan secara aman, teruskan.
Memandangkan ia telah jadi kontroversi, dialogkan saja di pentas intelektual.
Saya tidak berharap Pak Menteri atau mana-mana ahli politik membicarakannya. Objektif mereka, biar setinggi mana pun inteleknya, selalu ada pada 'kemenangan undi'.
Bukan! Saya tidak bermaksud ahli politik jangan membicarakannya. Memang mereka perlu tahu kerana mereka berada di posisi membuat dasar. Namun, yang lebih penting dan menjadi pendahulunya harus orang sastera itu sendiri.
Katakanlah, ia memang fakta atau sejarah yang dirakam dan sukar diterima oleh masyarakat India. Ini tidak menjadikan novel Interlok itu perlu diharamkan atau dibakar. Yang perlu mungkin digantikan saja dengan novel lain. Beri royalti yang perlu kepada pengarangnya dan bukan dipinda harta inteleknya.
0 maklum balas:
Post a Comment