Beberapa minit lagi tamatlah tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil di Tenang, Johor. Calon yang bertanding keduanya pernah menjadi kakitangan kerajaan. Seorang mewakili UMNO-BN dan seorang lagi calon PAS-PR. Seorang lelaki, seorang wanita.
Maaf, bukan kerana calon PAS itu wanita. Tetapi, sampai sekarang saya tidak boleh mengingati nama calon lelaki yang bertanding. Pada saya, itu menggambarkan calon lelaki itu lebih banyak menumpang kekuatan parti yang diwakilinya sementara calon wanita ini namanya lebih mudah diingati berbanding partinya (sekurang-kurangnya untuk kempen kali ini) - sama ada kerana kempen baik atau buruk berkaitannya.
Saya tidak minat bicara siapa yang akan menang kerana politik melebihi persoalan tersebut. Cuma, saya suka mengajak rakyat - sama ada berparti atau tidak - untuk melihat garis kempen yang diambil. Kempen apa yang lebih membawa rakyat ke satu tingkat penghayatan hidup bernegara secara demokratik dan kempen apa pula yang sebaliknya? Jika maklumat dasar atau perjuangan yang hendak dibawa oleh parti A mudah didapati di media arus perdana, kenapa tidak maklumat dasar dan perjuangan parti B?
Semakin banyak kita bertanya, semakin banyak kita akan melihat sebahagian kebusukan yang ada dalam proses kita hidup bernegara di Malaysia. Kebusukan ini sebenarnya hadir meminta kita menyediakan diri untuk membersihkannya.
Mungkin itulah sebab kenapa Gobalakrishnan memilih untuk ikut dalam arus perjuangan reformasi sejak 1998 dulu. Hari ini beliau keluar parti, mungkin atas prinsip perjuangan yang dipegang. Pilihan beliau mesti dihormati.
Cuma, apabila pilihannya dibuat tatkala kempen di Tenang sedang berlangsung di hari akhir, maka saya tidak nampak bagaimana tindakan itu tidak mempunyai motif politik yang cetek berbanding prinsip perjuangannya, jika itu yang mahu dijadikan alasan.
0 maklum balas:
Post a Comment