Bagi yang tidak tahu, saya mula giat menulis sejak dua tahun lalu. Maksud saya, penulisan bersifat artikel. Jika di blog, tulisan saya telah dimulakan lebih awal. Blog ini telah diberikan wajah baru dengan tulisan lama dialihkan. Blog lama saya masih boleh diakses di Muda Hanya Sekali.
Orang yang paling banyak mendorong saya menulis ialah Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD). Selain beliau, yang turut memberikan inspirasi ialah kawan-kawan di Jalan Telawi. Waktu dulu saya sangat sukakan cara menulis Fathi Aris Omar dan Hasmi Hashim. Tulisan Fathi lazim bersifat ilmiah meskipun ada masanya ditulis santai. Hasmi pula, saya lebih dahulu suka cara beliau melontarkan pandangan lewat pidato dan sajaknya. Emosi yang dilontarkan terasa menggoncang benak fikiran saya.
Semasa majalah Siasah berada di pasaran, saya pernah cuba menghantar tiga artikel ke sana. Sayangnya ia ditolak. Sebetulnya, saya tidak tahu bagaimana penulisan artikel yang sebenar justeru saya hanya menyiapkan tulisan satu muka surat dan ini tentulah terlalu pendek untuk dijadikan artikel.
IKD banyak mengadakan bengkel dan kursus menulis. Satu daripadanya menemukan saya dengan Faisal Tehrani. Saya fikir nasihat beliau amat berharga. Ia nasihat ringkas lewat surat elektronik selepas beliau menjadi tetamu satu forum dalam seminar penulisan anjuran IKD. Seingat saya ini berlaku sekitar tahun 2002/2003.
Saya harus jujur bahawa Faisal mempunyai kelebihan mengarang kisah. Seni penulisannya baik meskipun beberapa kandungannya untuk saya masih cenderung tidak seimbang. Tapi dia sasterawan muda yang punya nama. Saya utuskan pertanyaan "bagaimana dapat menulis dengan baik?".
Jawab beliau sederhana: "mulakan sahaja. Lama kelamaan penulisan kita akan semakin baik jika kita sentiasa belajar membaikinya dengan teguran dan saranan pihak lain." Begitu lebih kurang.
Tulisan saya juga kali pertama disiarkan oleh SuaraAnum, satu projek majalah web (webzine) yang diasaskan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (kini YB bagi kawasan DUN Seri Setia). Tulisan itu pendek dan berkisah tentang perjuangan bahasa dan mahasiswa. Ia diangkat menjadi tema utama siaran berkala pada waktu itu. Wah, tentu saja saya girang! Meskipun tulisan itu jauh daripada bagus, saya terasa sangat dihargai.
Mulai saat itu saya bertatih dan tidak jemu menulis. Saya tahu masih banyak yang perlu dipelajari. Saya selalu cemburu dengan teman-teman yang punya ketajaman fikir dan dapat melontarkan fikiran dan perasaan mereka dengan cukup baik.
Wan Saiful Wan Jan, Pengarah Eksekutif IDEAS juga mempunyai caranya tersendiri. Beliau membawa saya kembali ke era persekolahan. Anda hanya perlu pilih satu tajuk dan sikap yang diambil. Kemudian berikan tiga isi utama untuk menyokongnya sebelum ditutup dengan kesimpulan. Ya, mudahnya untuk menulis! (Mudah?)
Tahun lalu mungkin tahun bersejarah buat saya. Meskipun saya menulis di beberapa kolum dan tulisan saya pernah tersiar di banyak media, 2010 menjadi bermakna apabila saya ditawarkan menulis buku oleh IKD berkisar isu alam sekitar - pemanasan global dan perubahan iklim. Ia sudah terbit pada Disember 2010 dan saya kisahkan sedikit di kolum saya, di sini.
0 maklum balas:
Post a Comment