Saya tidak pasti sejauh mana masyarakat terdedah dengan persoalan epistemologi. Saya sendiri tidak berani mengatakan bahawa saya memahami sepenuhnya. Mungkin, disebabkan pengakuan itu, ada yang berasa mereka telah memahami sepenuhnya mengambil pengakuan saya sebagai 'tumit Achilles' kepada 'debat' yang sesekali berlaku. Ironinya, ketika saya mengambil sikap berdepan dengannya, kesimpulan 'kekeliruan epistemologi' yang telah diputuskan kepada saya itu bertukar kepada 'jelaskan faham kamu untuk kami menilainya'. Ia membuatkan saya tertanya "sekarang siapa yang ada masalah epistemologi?"
Mungkin, dengan beberapa tulisan yang mahu saya tulis, mereka akan lebih berpeluang untuk mencari atau menemukan kekeliruan saya, supaya senang mereka mengambil garis hukum kemudiannya.
Apa itu epistemologi? Ia adalah cabang falsafah yang mengkaji persoalan ilmu. Soalan asas yang cuba dijawab ialah "apakah yang membezakan ilmu yang benar (atau mencukupi) dengan ilmu yang salah (atau tidak mencukupi). Soalan asas tersebut kemudian akan bergerak kepada soalan selanjutnya iaitu "bagaimana anda mengetahui perbezaan ilmu yang benar (atau mencukupi) dengan ilmu yang salah (atau tidak mencukupi) itu."
Secara ringkasnya ia menyentuh persoalan keyakinan dan keabsahan.
Dalam perkembangan falsafah di Barat khususnya, muncul dua aliran besar - empirisme dan rasionalisme. Yang awal berpendapat ilmu tentang sesuatu hanya boleh diperolehi dengan cara kita melaluinya - merujuk kepada pengalaman (posteriori); sementara yang kemudian berpendapat ilmu tentang sesuatu boleh diperolehi sebelum kita melaluinya (priori). Umumnya, ada yang berpendapat sesuatu ilmu itu mesti dibuktikan dulu untuk mendapat keabsahan dan ada yang berpendapat tidak semestinya atau ilmu boleh diabsahkan tanpa pembuktian terlebih dahulu.
Saya fikir kedua-duanya mempunyai 'kebenaran' tersendiri dan mungkin disebabkan itu kedua-duanya mempunyai 'pengikutnya' tersendiri yang 'yakin' dengan 'kebenaran' tersebut. Namun, saya tertanya kenapa mesti kedua-dua ini diletakkan sebagai pertentangan? Ia nanti akan berbalik kepada pertembungan akal dan kepercayaan.
Saya cenderung bersetuju dengan pandangan St. Thomas Aquinas yang melihat akal dan kepercayaan adalah sumber di mana iman 'hidup'. Selalunya, orang yang percaya kepada akal cenderung tidak berpuas hati dengan kenyataan 'percaya' tanpa perlu dibuktikan. Konfliknya, setakat pemahaman saya, ialah dalam hal membezakan 'kepercayaan yang boleh diadakan hujah akal baginya atau tidak'.
0 maklum balas:
Post a Comment