5/30/2011

Pengalaman bertabligh 1

Lama saya tidak menulis tentang pengalaman bertabligh. Eloklah saya mulakan dulu dengan kisah awal mengenali Jemaah Tabligh.

Sebenarnya 2 orang dari rakan dormitori saya ialah karkun (istilah untuk pendakwah tabligh). Tapi mereka berusia lebih tua daripada saya. Seorang lagi yang sebaya duduk di dormitori sebelah.

Itu pada hari-hari awal di kampus sebelum kemudiannya hampir semua di dormitori saya dan sebahagian daripada dormitori sebelah pernah keluar bertabligh.

Ketika di kampus, saya memang sering bersolat di surau kolej. Saya dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Surau sejak tahun pertama sebagai latihan untuk memimpin. Sebagaimana lazimnya, saya suka menawarkan diri untuk mengalunkan azan. Sesekali memang saya menjadi imam. Saya tidak menghafal banyak ayat-ayat al-Quran sebagaimana rakan-rakan yang berlatar-belakangkan sekolah agama. Namun, rakan-rakan saya yang berlatar-belakangkan sekolah agama nampak tidak begitu berminat menjadi Jawatankuasa Surau.

Kali pertama Jemaah Tabligh berkunjung ke bilik saya ialah petang selepas Asar. Waktu itu jam sudah menunjukkan sekitar pukul 6 atau 6.30. Saya memang mendisiplinkan diri untuk berhenti beriadah pada waktu itu supaya sempat kering peluh, dapat makan dan dapat bersiap untuk solat maghrib berjemaah di surau. Saya mengamalkan makan pada lewat petang supaya selepas Isyak saya lebih selesa belajar dan hanya perlu makan roti kering cicah kopi.

Selepas selesai bermain sepak takraw, dan kali itu kaki saya terseliuh kerana salah mendarat selepas membuat satu lipatan, saya naik ke dormitori. Ada wakil jemaah telah mula bercakap dan saya menghormati tetamu dengan ikut sama mendengar. Ia tidak lama, sekitar 5 minit. Memang lazimnya dalam kunjungan dari bilik ke bilik itu, jemaah akan meminta masa 5 minit untuk mereka bercakap tentang kebesaran Allah s.w.t. dan pesan-pesan agama.

Itulah rahsia di sebalik Minta Masa 5 Minit yang menjadi nama blog ini.

0 maklum balas: