6/20/2011

Ibrahim Ali dan Gerak Aman

Saya menghormati hasrat PERKASA untuk sama berhimpun pada 9 Julai 2011, sempena hari perhimpunan BERSIH 2.0. Saya yakin hak mereka untuk berhimpun harus dipertahankan.

Setakat ini, saya belum mendengar apa tujuan Gerak Aman selain daripada membantah BERSIH 2.0. Berbeza dengan BERSIH 2.0 yang cukup jelas menyatakan pendirian mereka berkaitan isu demokrasi, Pilihan Raya.

Apa yang kelihatan, perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman semalam menggambarkan dengan jelas bahawa merekalah yang cenderung bersifat merosakkan dan akan menimbulkan huru-hara.

Pihak polis sewajarnya menjemput kedua-dua pihak - BERSIH dan Gerak Aman (juga boleh melibatkan Pemuda UMNO yang dikatakan mahu berhimpun) untuk berunding berkaitan masa pergerakan dan juga laluan yang mahu diikuti. Tempoh selama dua jam boleh diberikan kepada kedua-dua pihak. Saya percaya BERSIH boleh menyelesaikan penyerahan memorandum ke Istana Negara dalam tempoh itu kerana matlamatnya jelas dan lokasi perhimpunan dengan jarak yang dituju itu jelas. Sementara bagi Gerak Aman, saya tidak jelas dengan tujuan mereka. Kelihatan mereka hanya mahu menggagalkan perhimpunan BERSIH, yang boleh menyebabkan tempoh dua jam yang dimaksudkan itu tidak dapat diselesaikan. Maka, pihak polis harus jelas bahawa Gerak Aman-lah yang akan menyusahkan kelancaran agenda 9 Julai 2011.

Saya percaya ini boleh dilakukan dengan pihak polis menutup laluan tertentu untuk tempoh masa tertentu. Ia boleh diumumkan di media dan juga iklan di sepanjang lebuhraya berkaitan. Ia lebih baik berbanding pihak polis membuat sekatan jalan raya yang menyusahkan lebih banyak pihak tidak berkaitan. Sekiranya ia mahu dibuat lebih cepat, pihak polis boleh mencadangkan kepada BERSIH 2.0 untuk berkumpul di Dataran Merdeka yang lebih dekat dengan Istana Negara. Saya percaya jika itu boleh berlaku, perhimpunan ini mampu diselesaikan dalam tempoh 2 jam dan seterusnya ramai peniaga akan mendapat manfaat daripada jumlah besar rakyat yang merayakan demokrasi di negara Malaysia tercinta ini.

0 maklum balas: