7/01/2011

Tuntutan 2

Tuntutan kedua Bersih 2.0 ialah reformasi kepada sistem undi pos.

Terlebih dahulu wajarlah kita memahami asas kewujudan undi pos. Undi pos sebenarnya adalah satu kaedah untuk menjamin warganegara yang layak dan berdaftar sebagai pengundi sah boleh melaksanakan haknya meskipun berada dalam situasi yang boleh menghalang mereka untuk menyertai proses pengundian.

Hal berkaitan undi pos ini boleh dibaca di bawah Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003. Menurut Datuk Kamaruzaman Mohd Nor, Setiausaha SPR, mereka yang layak mengundi pos ialah anggota keselamatan, khususnya tentera, pelajar di luar negara, kakitangan kedutaan dan keluarga mereka.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara tidak dibenarkan membuang undi dengan cara ini.

Pertikaian wujud kerana undi pos didakwa menjadi satu cara parti pemerintah untuk kekal berkuasa. Dalam maksud lain, dakwaan bermaksud undi pos ini dimanipulasi. Rekod aliran pengundian melalui pos ini menguatkan dakwaan tersebut.

Ada juga dakwaan bahawa parti pembangkang juga mendapat sebahagian undi daripada kaedah ini. Kenyataan ini juga mirip dengan dakwaan bahawa sebahagian pengundi yang berkongsi alamat yang sama dilakukan oleh parti pembangkang.

Ini adalah tuduhan yang menarik untuk saya kerana ternampak di sana tuntutan Bersih 2.0 itu merentasi kepentingan parti politik, dan sokongan parti politik khususnya pembangkang dalam Bersih 2.0 itu seolah-olah merugikan diri sendiri. Tetapi hakikat bahawa parti pembangkang menyokong tuntutan Bersih 2.0 juga boleh menggambarkan kesediaan mereka untuk bertanding di padang sama rata (level playing field).

Dakwaan undi pos dimanipulasi ini tentulah besar. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa negara diperintah oleh mereka yang tidak mempunyai legitimasi.

Adakah dakwaan ini kosong? Mungkin. Namun, tidak ada penjelasan misalnya selepas bekas Lans Koperal 4-Renjer ATM, Nasir Moni memberi keterangan bahawa selama 15 tahun beliau berkhidmat dengan institusi tersebut, beliau telah memangkah beribu-ribu undi pos angkatan tentera. Ini hanya satu contoh yang ada.

Dalam satu forum anjuran Pertubuhan Kebajikan Budi Malaysia (Budi), Laksamana Madya (B) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Mohamad Shariff Ishak pula menegaskan amalan atau sistem undi pos kini tidak relevan berdasarkan keadaan keselamatan di negara ini kerana ia boleh disalah gunakan oleh orang-orang tertentu. Menurut beliau: "Keadaan negara kini sudah tidak memerlukan undi pos kerana askar kini sudah tidak ditempatkan di kawasan terpencil dan sekiranya mereka ditugaskan di udara atau laut, mereka boleh dibawa ke pengkalan semasa hari pengundian dilakukan.

Pada hemat saya, mereka ini tentulah lebih memahami persekitaran kerja mereka untuk mengatakan sistem undi pos tentera itu boleh diperbaiki atau tidak.

Dalam konteks tertentu, keraguan wujud kerana sebilangan angkatan tentera misalnya mempunyai dua kad pengenalan diri - satu kad pengenalan umum dan satu kad pengenalan tentera. Tidak dapat dipastikan bagaimana kaedah memastikan mereka hanya mengundi sekali sahaja.

Saya fikir reformasi yang boleh dibuat adalah seperti berikut:

1. Undi pos dimansuhkan tetapi digantikan dengan satu sistem lain yang tidak membelakangi hak pengundi yang sebelum ini termasuk dalam kategori pengundi pos. Satu ketetapan boleh dibuat untuk membolehkan mereka maklum, misalnya pelajar di luar negara boleh mengundi di Kedutaan Malaysia dan sebagainya.

2. Senarai nama dan maklumat umum pengundi sistem gantian undi pos ini mestilah diisytiharkan kepada umum melalui media cetak/buku senarai pemilih supaya ia dapat disemak dan disahkan sekiranya ada pertikaian kemudiannya.

3. Wakil calon/parti bertanding dibenarkan hadir untuk melihat proses pengundian dan memastikan ia telus.

4. Kiraan dibuat terus di tempat mengundi pada hari pengundian tersebut dengan kehadiran sekurang2nya wakil calon/parti bertanding (meskipun proses ini mungkin dibuat lebih awal). Menangguhkan proses kiraan hanya membuka ruang kepada spekulasi.

5. Borang 14 yang menjadi borang rasmi keputusan Pilihan Raya perlu ditandatangani oleh SPR dan wakil2 calon serta saksi bebas yang diyakini - misalnya dibentuk satu suruhanjaya diraja yang terdiri daripada individu-individu yang sangat dihormati dalam masyarakat, khusus untuk tujuan ini.

6. Rakyat Malaysia di luar negara harus dibenarkan bersama dalam proses pengundian tersebut. Mereka perlu mendaftar di Kedutaaan Malaysia dalam tempoh tertentu yang munasabah. Pengesahan kewarganegaraan perlu dibuat untuk mengelakkan adanya pengundi tidak sah terlibat.

7. Untuk mengelakkan pengundian berulang, ia terkait dengan Tuntutan ke-3 Bersih 2.0 yang akan saya bincangkan esok, insyaAllah.

Ini hanyalah sebahagian cadangan. Tuntutan kedua Bersih 2.0 ini jelas ada asas dan cadangan penambahbaikan tidak terlalu sukar untuk dilaksanakan.

4 maklum balas:

Anonymous said...

nak bersih mcm mane lagi...ikut lah kata keling 2

Anonymous said...

baca ke tak?

inspirasicyber said...

pening dengan situasi sekarang nie

zorro said...

I linked your post to my latest posting.Thanks.