3/31/2011

Eskay datang lagi

Nampaknya Dato' Eskay bersungguh benar mahu menjatuhkan Dato' Seri Anwar sebagaimana dakwaan bekas pegawai (arwah) Tan Sri Megat Junid. Oh ya, kita belum dengar lagi apa jawab Eskay tentang dakwaan itu.

Saya setuju dengan kenyataan peguam Dato' Seri Anwar, YB Sivarasa Rasiah yang menasihatkan anak guamnya untuk tidak melayan spekulasi Dato' Eskay. Menurut beliau, jika Dato' Eskay benar yakin, beliau sepatutnya mengambil langkah yang lebih sesuai dengan dakwaan serius tersebut dan bukan memakai taktik politik untuk menanganinya.

Untuk saya, jika duit rakyat dari projek jambatan bengkok yang dibatalkan pun Dato' Eskay mahu sebat, tidak hairanlah jika beliau sanggup lakukan ini.

Kadangkala saya tertanya, UMNO ada buat tender terbuka untuk sesiapa yang boleh jatuhkan Dato' Seri Anwar ya? Mungkin ada orang tertentu dalam UMNO semakin sedar bahawa jika Tun Mahathir yang mereka dewa-sucikan pun Dato' Seri Anwar sedia berpencak ala pendekar, inikan pula cicak mengkarung!

3/30/2011

Lat: Kampung Boy sebuah muzikal


Ini kali kedua saya menonton di Istana Budaya selepas teater Natrah. Semalam saya bersama isteri meluangkan masa menonton Lat: Kampung Boy sebuah muzikal yang cukup menghiburkan. Teater selama sekitar 3 jam itu berbaloi untuk ditonton! Lat bukanlah kartun yang asing buat generasi kami meskipun sebenarnya ia muncul lebih awal dan generasi kami mungkin lebih mengenali Gila-Gila dan Ujang.

Lat versi teater ini adalah hasil arahan Hans Isaac dan Harith Iskandar dengan pelakon watak Lat ialah Awie. Semalam Datuk Lat juga hadir bersama menontonnya!

3/26/2011

Rahim Thamby Chik

Saya mendengar rakaman kenyataan media Tan Sri Rahim Thamby Chik. Dari gaya bercakap dan juga nada suaranya, saya fikir beliau punya karisma tersendiri. Tidak hairanlah beliau pernah menang jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia satu waktu dulu.

Kemunculan beliau dalam kes rakaman video seks yang cuba dikaitkan dengan Dato' Seri Anwar baru-baru ini sebenarnya telah membantu rakyat lebih memahami permainan politik yang ada. Bagi generasi muda pertengahan yang berusia lebih 30 tahun, nama Tan Sri Rahim Thamby Chik bukanlah baru dan baik. Beliau telah dipalitkan dengan tuduhan merogol kanak-kanak bawah umur sehingga menyebabkan beliau terpaksa meletakkan jawatan.

Dalam ribut kempen Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999, mangsa muncul bersama suami di media arus perdana untuk menafikan perlakuan tersebut. Namun, nenek mangsa yang terlibat dalam menguruskan isu tersebut bersama Lim Guan Eng (kini Ketua Menteri Pulau Pinang) terkejut kerana ia bercanggah dengan apa yang pernah dia tahu. Kata orang, anak yang dilahirkan itu mukanya iras dengan Tan Sri Rahim. Wallahu'alam.

Sambil riuh orang UMNO mahu Dato' Seri Anwar memberikan DNA, apa kata Tan Sri Rahim yang berjuang demi kebenaran itu secara sukarela menuntut Suruhanjaya Diraja yang bebas dan memberikan komitmen untuk ujian DNA bagi menentukan anak itu bukan anaknya.

3/25/2011

Ezam cadang rampas pas perjalanan Anwar?

Saya tidak mengerti bagaimana seorang Senator boleh mencadangkan agar pas perjalanan antarabangsa seorang warganegara Malaysia patut dirampas. Ini sangat bertentangan dengan semangat kebebasan dan keadilan yang sepatutnya diamalkan oleh negara ini.

Saya masih ingat dahulu, ketika Ezam masih bersama perjuangan reformasi, beliau pernah dikutuk kerana mengkritik amalan salah guna kuasa, rasuah dan kezaliman dalam negara. Saat itu beliau digelar pengkhianat negara. Apa yang dibuat beliau kemudian ialah menunjukkan fakta bagaimana Dr. Mahathir juga pernah mengkritik Tunku Abdul Rahman dengan cara itu.

Ezam cuba mengaitkan cadangan beliau dengan isu ekonomi antarabangsa. Saya harap beliau tidak buat lawak dengan menyangka pekung busuk yang ada dalam negara selamanya boleh ditutup. Saya fikir negara ini harus besar jiwanya untuk membersihkan segala 'kotoran' yang ada. Bukankah Ezam sering berbangga di dalam dan luar negara bahawa beliau ialah mangsa kepada akta zalim hanya kerana memperjuangkan rasuah? Bukankah Ezam juga galak dengan agenda memburukkan lawan politiknya di luar negara?

Benarlah kata orang; dari setinggi penghormatan yang beliau tempa, kini beliau sendiri yang menurunkan penghormatan itu.

3/24/2011

Eskay = SK

Sebenarnya saya menyampah dengan perjalanan politik Malaysia. Saya memang tidak gemar mana-mana pihak yang kuat menunjuk lagak dan tidak gentlemen. Jenis begitu lazimnya hanya berkuasa dengan faham "yang kuat itu benar". Saya pula memegang faham "yang benar itu kuat". Justeru, saya suka perlawanan bergaya. Perlawanan bergaya tidak semestinya akan menjadikan yang kuat itu menang.

Saya tidak suka dibodohkan. Saya pun bukanlah pandai sangat. Tetapi jika saya yang tidak berapa pandai ini terasa dibodohkan, bayangkan betapa bodohnya mereka yang cuba membodohkan itu?

Saya tak faham dengan cerita cari jam tak jumpa dan jumpa video. Kemudian bila jumpa orang ramai tunjuk jam dan nakkan DNA. Lebih daripada itu ialah kata selalu bawa orang buat seks tetapi tiba-tiba mengaku terlibat dalam merakam. Bila jumpa orang buat-buat macam terkejut jumpa alat rakaman.

Ini semua SK = Suka Kencing!

Pop-kan budaya protes

Saya tidak pasti apa mood orang ramai tentang protes jalanan. Saya fikir ia tidak menyengat seperti dulu. Barangkali kerana Pakatan Rakyat telah menang di banyak tempat. Nampak gaya yang banyak turun protes ini ialah orang-orang parti.

Saya percaya ada mereka yang bukan orang parti juga ikut sama menyatakan protes. Mereka akan tumpang himpunan ramai yang lazimnya digerakkan oleh parti. Selain itu, protes yang ramai mungkin adalah khusus berkaitan isu tertentu.

Saya yakin budaya protes ini perlu dipelbagaikan. Ia mesti mengambil bentuk pop juga kadangkala.

Cara yang saya terfikir ialah dengan menggalakkan pemakaian baju protes pada hari tertentu di mana masing-masing buat aktiviti masing-masing tetapi cukup kita tahu bahawa yang memakai baju protes adalah bersama kita. Ini adalah satu bentuk baru bandwagon yang perlu dikembangkan. Selain itu, pada hari lain juga boleh digalakkan memakai batch macam anti-ISA, reben putih dan sebagainya.

Jangan dibuat kerap. Buat misalnya hari Sabtu ala-ala demo petang Sabtu zaman Reformasi 1998 dulu. Amacam? Bila nak mula?

3/23/2011

Dari buaian hingga ke liang lahad

Saya membuat sedikit bacaan tentang negara kebajikan. Sambil membaca, saya terfikir bahawa memang benarlah ia cukup ideal untuk dicapai. Agendanya boleh disusun dari buaian hingga ke liang lahad!

Sambil itu, bagaimana mencapainya itu kekal menjadi satu persoalan lain yang perlu difikirkan. Lazimnya konotasi kebajikan itu positif, namun belum tentu jalan mencapainya itu sentiasa positif.

Politik Kotor?

Ramai yang berkata politik itu kotor. Jika mereka rasional sedikit, paling tidak mereka akan sebut yang betul iaitu pemain-pemain politik itu kotor. Itu jadi alasan untuk mereka tidak minat dengan politik.

Sebenarnya dua ayat pertama itu hanyalah justifikasi untuk ayat ketiga.

Jika mereka yakin mereka orang baik, kenapa mereka hanya membiarkan urusan politik yang penting itu kotor atau diuruskan oleh pemain politik yang kotor?

Saya sebenarnya sangat bosan dengan ungkapan-ungkapan eskapis begitu. Jika buta atau tidak minat politik terus-terang sahaja kerana ia akan memudahkan saya untuk beritahu bahawa sikap anda itulah yang membenarkan kekotoran itu terus ada.

Padang Pembunuhan



Saya telah menonton filem ini. Ia pernah dicalonkan di Anugerah Akademi dan menang dalam Pelakon Pembantu Terbaik, Edit Terbaik, Sinematografi Terbaik. Ia pernah menang filem terbaik Anugerah BAFTA. Filem berasaskan kisah benar ini terbit pada tahun 1984. Sebahagian kisahnya telah saya garap di webzine JalanTelawi.

Tahun Kosong



Catatan saya tentang S21 dan Padang Pembunuhan di Kemboja telah disiarkan di kolum saya di webzine JalanTelawi.

3/22/2011

Fitnah 2



Keyakinan saya sejak mula ialah ianya tidak akan terhenti selagi Dato' Seri Anwar tidak mati atau berundur dari perjuangan politik beliau.

3/21/2011

Singapura

Syukur.

Saya fikir ini antara wisata yang paling memenatkan. Penat kerana ia dirancang dalam kesibukan dan sedikit tergesa-gesa. Waktu tidak banyak dan 3 hari 2 malam itu adalah tempoh yang memadai, meskipun tentu ia boleh lebih baik, untuk keluarga saya dan isteri bersama.

12 orang berserta seorang anak kecil tentulah mempunyai ragamnya tersendiri. Ia bukanlah kali pertama saya ke Singapura tetapi ia mungkin satu kunjungan wisata yang tersendiri. Tempoh singkat yang ada hanya sempat ke Universal Studios. Dek kerana suasana hujan dan bergerak sedikit lewat ke lokasi, ada tempat yang tidak sempat kami masuk. Saya mahu pergi lagi dan dirancang dengan lebih baik.

Video Seks Tokoh Pembangkang?

Dulu, ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim dituduh liwat, umumnya ia tidak dipercayai. Orang lebih percaya jika tuduhan tersebut ialah tuduhan seks (bersama wanita) berbanding homoseksual (bersama lelaki).

Taktik membuat tuduhan yang menjatuhkan moral ini memang satu kaedah politik, khususnya diktator untuk menjatuhkan lawan mereka. Hitler juga pernah membuat tuduhan liwat kepada orang kanannya yang dilihat berpengaruh dan meningkat naik.

Hari ini khabarnya satu video yang dirakam telah ditemukan oleh Datuk T. Paparannya dikatakan melibatkan tokoh pembangkang yang sama. Setakat laporan berita yang ada, saya sudah mula menghidu ia sebagai satu lagi acara untuk menyibukkan tokoh pembangkang itu dengan pelbagai isu yang menyulitkan beliau menguruskan kekuatan Pakatan Rakyat.

Sementara saya menantikan pemanjangan episod ini, saya akan cuba memaparkan semula sejumlah tulisan saya berkaitan Anwar dan Reformasi yang pernah dipaparkan dulu.

Nuklear

Rentetan gempa bumi dan tsunami di Jepun, kini isu nuklear berkembang dan menjadi bahan perbincangan awam. Saya fikir ini debat yang bagus untuk pembangunan negara dalam konteks yang luas. Saya gusar jika isu ini nanti hanya menjadi satu lagi isu politik dan segera ditamatkan. Pada waktu yang kritikal ini, amat penting untuk satu perdebatan berkaitan tenaga dipanjangkan kepada khalayak. Ia penting dan cocok dengan budaya demokrasi.

Dalam buku Pemanasan Global dan Perubahan Iklim, saya turut memuatkan sedikit nota persetujuan saya akan penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber yang paling berkesan. Namun, saya juga sedar bahawa ia tidak bersifat eka-pandangan. Sambil bersetuju dengan penggunaan nuklear, saya selalu percaya bahawa ia tidak datang secara bentuk tetapi mesti juga bersifat proses. Manusia tidak harus berhenti mencari dan meneroka pelbagai kemungkinan.

3/17/2011

Islam dan Pasaran Terbuka

Lama juga tidak kemaskini blog. Agak sibuk menyediakan beberapa kertas kerja dan juga menguruskan acara. Tadi baru pulang dari UIAM membicarakan Islam dan Pasaran Terbuka. Syukur semuanya berjalan lancar.

Ringkasnya, kertas kerja saya mengandungi:

1. Asas perbincangan - dasar yang diambil oleh kerajaan kini vis a vis prinsip pegangan IDEAS selaku organisasi pro-pasaran.

2. Saya bincangkan kelebihan pasaran terbuka.

3. Saya tunjukkan bahawa ia bukan asing dalam konteks kenegaraan Malaysia.

4. Saya tunjukkan bahawa ia bukan asing dalam pengalaman Islam. Saya membawakan empat hujah asas berserta hujah tambahan dari kupasan Ibnu Khaldun dalam kitab al-Mukaddimah.

5. Saya bincangkan isu dan cabaran yang ada untuk menjayakannya.

Ini kali pertama saya membincangkannya secara terbuka kepada khalayak dan saya fikir ia menambah keyakinan saya terhadap Islam dalam realiti kehidupan.

3/14/2011

Al-Kitab

Saya tak pernah percaya dengan agenda mengharamkan buku, apatah lagi kitab agama. Ya, kita boleh mengatakan bahawa kitab agama itu tidak cocok dengan faham agama kita untuk menjustifikasikannya. Namun, ia seolah-olah memberi legitimasi untuk negara lain yang faham agama majoriti rakyatnya tidak cocok dengan Islam boleh mengambil sikap yang sama.

3/12/2011

Zulfikar

Kami pernah berbual di ruangan Facebook. Kami pernah bertemu dalam satu dialog bloggers bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim dulu. Bahkan, semalam isteri saya gembira melihat beliau memuat-naik muka depan buku tulisan saya - Pemanasan Global dan Perubahan Iklim, terbitan IKD di mana beliau menjadi salah seorang penjualnya.

Sam, begitu kami memanggilnya. Saya tidak punya banyak pengalaman bersamanya. Yang saya tahu, beliau ialah antara pemuda yang awal membentuk kelompok Jalan Telawi. Ketika beliau mendapat serangan jantung dulu, saya ingat kawan-kawan bergegas ingin melawatnya. Waktu itu saya tidak begitu kenal apabila namanya disebut.

Kemudian beliau mengasas laman Republik Kata. Terakhir, beliau menjadi penggerak hadapan laman Ureka.asia. Di situlah kami lebih rapat kerana Mat Saman Kati memberi ruang untuk saya menulis secara berkala berkaitan isu-isu reformasi - sama ada bersifat idea ataupun intrik.

Semalam Sam telah dijemput kembali mengadap Tuhan. Khabar sampai mengatakan beliau diserang angin ahmar. Sesungguhnya janji Tuhan itu pasti. Tidak awal dan tidak lewat dalam hal kematian. Mati adalah satu daripada rahsia Tuhan yang manusia mungkin hanya mampu meneka asbabnya.

Semoga Sam akan ditempatkan di kalangan orang beriman. Sekurang-kurangnya, saya mahu memberi hormat kepada beliau yang tidak tunduk kepada kezaliman penguasa, meskipun keupayaannya dibataskan oleh keuzuran fizikal.

Saya cemburu dengan kesungguhannya dan berharap untuk selalu kuat berjuang sepertinya.

Doa untuk Jepun

Saya pernah ke negara matahari terbit itu pada tahun 2006. Seminggu di sana adalah satu pengalaman yang cukup sekejap dan saya masih belum puas menikmatinya.

Saya juga pernah menyertai sukarelawan bantuan kepada mangsa Tsunami di Kuala Muda, Kedah. Jadi, saya tahu betapa sukarnya keadaan mangsa dan betapa gerunnya penangan Tsunami.

Kuala Muda dan Jepun tentulah dua kawasan berbeza. Kuala Muda hanya menerima tempias daripada Tsunami yang berlaku sementara Jepun menerima kesan hampir. Khabarnya, tidak ubah seperti Acheh, sebahagian bandar Tokyo hilang dari pandangan.

Doa saya untuk Jepun, terlepas siapa pun mereka.

3/11/2011

Ordo-Liberal

Ordo adalah sebutan lain bagi order, merujuk kepada sial perintah dan kawalan. Liberal pula merujuk kepada soal bebas.

Malam ini Eekmal Ahmad, seorang daripada Hayekian Malaysia membentangkan pandangannya dalam sesi yang dikendalikan saya bersama Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Bukit Tunku Society.

Saya fikir pembentangannya menarik kerana beliau memberi latar yang kemas kepada pergelutan idea yang muncul di negara Jerman dan menjadi tonggak dasar ekonomi mereka hingga kini. Namun, itu tidak bermakna ianya tidak menghadirkan sejumlah persoalan lain tentang hala tuju negara.

Saya puas menikmati sesi tadi.

3/10/2011

Sukar dihentikan...



Semalam saya menonton filem Unstoppable bersama isteri. Filem yang digarap daripada kisah benar ini agak menarik dan mengajar kita untuk tidak mengambil mudah akan risiko di samping kepentingan pengetahuan dan pengalaman, sikap tenang dan keberanian untuk mencapai tujuan baik dan sukar.

3/09/2011

Panas


Ini ialah buku pertama saya yang diterbitkan Institut Kajian Dasar (IKD).

Saya mengambil masa selama 5 bulan untuk membaca, membentuk kerangka penulisan dan menulis. Sebetulnya, ia boleh disiapkan lebih awal. Namun, disebabkan kesibukan kerja, ianya disiapkan sedikit lewat pada tahun lalu.

Jalan Kediktatoran 2

Ciri kedua yang biasa kita temukan dalam jenis komunikasi yang dipakai oleh diktator ialah perpaduan. Aneh bukan?

Ya, perpaduan sebenarnya adalah mesej umum dan baik. Namun, para diktator selalunya memupuk perpaduan ini dengan perasaan takut, bukan untuk merayakan hidup. Dengan ketakutan ini, mereka akan menyerahkan diri untuk mengikut kata pemimpin diktator tersebut.

Rasa takut ini biasanya disemai dengan retorika ancaman dunia luar misalnya penjajahan atau mungkin dalam era moden ini lebih menjurus kepada neo-kolonialisme. Lebih mirip, mungkin musuh politik akan diberi gambaran sebagai ejen asing. Jika ada watak pendamai yang dilihat boleh mengatasi kekuatan imejnya, watak ini akan digambarkan sebagai kurang patriotik, bersekongkol dan mendedahkan negara kepada bahaya.

3/08/2011

Kartini

Tulisan isteri saya berkaitan sosok Kartini boleh dibaca di JalanTelawi.com

3/07/2011

Jalan Kediktatoran

Dalam tempoh revolusi semarak di Timur Tengah, saya menegaskan kepentingan untuk memberi perhatian kepada jenis komunikasi (baca: propaganda) yang dimainkan pemerintah. Sebenarnya, revolusi bukanlah baru. Ia pernah berlaku dan akan terus berlaku. Ini kerana jalan kediktatoran itu hampir sama.

Apakah jalan itu? Banyak!

Saya akan cuba menulis sedikit demi sedikit yang boleh kita pelajari bersama.

Jalan pertama yang boleh dilihat ialah kawalan maklumat.

Kita tahu revolusi di Mesir itu ditunjangi oleh maklumat melalui media baru. Ya, suka atau tidak media baru telah memberi cabaran kepada media tradisi dalam konteks perbandingan maklumat. Maklumat membentuk persepsi dan persepsi boleh membentuk kepercayaan serta tindakan lanjut manusia. Dengan mengawal maklumat, pergerakan manusia sedikit sebanyak dapat dikawal. Dalam realiti kurangnya keinginan manusia membaca, apatah lagi menyaring maklumat, kerja kawalan maklumat ini menjadi lebih mudah.

Jangan lekas terkeliru. Apabila saya berkempen untuk kebebasan maklumat, itu tidak pernah menjadikan ia satu kempen yang menyebelahi parti politik pembangkang. Maklumat adalah untuk rakyat, bukan untuk kerajaan atau pembangkang. Pembangkang yang lemah dan tidak tahu menggunakan ruang kebebasan maklumat tentu saja tidak akan berupaya menjadikan kebebasan maklumat itu sebagai sebahagian kelebihan politik mereka.

Kebebasan maklumat lazimnya menjadi satu ancaman kepada kerajaan kerana ia berkait rapat dengan persoalan integriti dan pertanggungjawaban.

Jadi, sebagai seorang warganegara bertanggungjawab, kita perlu menyokong mana-mana pihak yang dapat menegakkan kebebasan maklumat kerana jika pihak itu parti politik sekalipun, kebebasan maklumat tidak memberi kelebihan kepada mereka kecuali parti politik tersebut jujur dan sedia dipastikan berada di jalan yang lurus.

Awas, parti politik yang takut dengan kebebasan maklumat tentu saja boleh diragukan kerana mereka mengurus dana awam!

3/06/2011

Bou Meng


Orangnya berdiri tiga dari kanan

Saya sedang membaca buku kisah tahanan S21 yang terselamat dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai semasa pemerintahan Khmer Rouge pimpinan Pol Pot di Kemboja. Kini sudah membaca sehingga suku daripada buku yang dibeli di S21, daripada Bou Meng sendiri.



3/05/2011

Kemboja 2



Saya menghabiskan masa selama kira-kira 4 jam di Angkor Wat. 3 jam pertama pada waktu pagi dan 1 jam kemudian pada lewat petang. Sebenarnya kami ke sana pada pukul 10.30 pagi, justeru agak panas. Namun, udara sepanjang perjalanan dan di dalam Angkor Wat cukup sejuk dengan angin bertiup. Bau pokok yang segar menambahkan rasa damai.

Saya fikir Angkor Wat adalah satu destinasi pelancongan sejarah-agama yang cukup menarik dan wajib dikunjungi oleh para pencinta kembara. Jika saya berpeluang mereka-bentuk satu taman rekreasi, saya sudah dapat membayangkan jenis rekabentuk yang mahu dibuat.

3/03/2011

Kemboja

Pejam celik sudah seminggu saya berada di Kemboja. Hari ini saya sudah berada di Siem Reap. Sebelum ini di Phnom Penh.

Semasa di Phnom Penh, saya sempat berkunjung ke Wat Phnom di sebelah Hotel Sunway, tempat saya menginap di sana. Hotel ini letaknya betul berhadapan dengan Kedutaan Amerika Syarikat. Dalam kata lain, ia berada di kawasan hartanah bernilai tinggi. Berdekatan dengan hotel ini ialah Hotel Raffles Le Royal yang mempunyai sejarahnya tersendiri.

Saya sempat dibawa meninjau kawasan Taman Tema yang sedang dibangunkan. Nampaknya bangunan yang menempatkan kawasan perjudian telah tersergam berbanding yang lainnya. Untuk ke kawasan ini, saya perlu melintas jambatan yang menyeberangi Sungai Mekong.

Saya tidak mempunyai gambar Sungai Mekong yang sempurna. Yang ada pun hanya dari jauh kerana tidak ke sana pada siang hari sebelumnya. Jika ada sekalipun hanya pada waktu malam. Pada hari pertama saya sudah terlepas menaiki bot bersama teman-teman lain untuk makan malam sambil berlayar di sungai tersebut. Saya ke lapangan terbang menjemput Presiden kepada Yayasan Aman Sasakawa yang menjadi penaja program, Dr. Akinori Seki.

Sebetulnya saya datang ke Kemboja bukan dengan tajaan. Tetapi saya menumpang makan dan tidur. Sebagai alumni, saya fikir program kali ini adalah yang terbaik (kecuali program tahun pertama yang tidak saya hadiri). Penyertaan peserta adalah rancak dan pembentangnya juga baik. Jelas terlihat kemahuan meneroka itu kuat ada pada diri para peserta.

Selepas mengikuti seminar, kebanyakan masa digunakan oleh peserta (termasuk saya) untuk ke Pasar Pusat membeli barangan perlu. Barangan di sini dijual dalam mata wang dollar berbanding mata wang tempatan. Justeru, ada yang bunyinya murah tetapi bila ditukar ke mata wang Ringgit Malaysia sebenarnya tidaklah terlalu murah. Ada juga yang mahal!

Oleh kerana terlepas menaiki bot, saya mengajak pemandu kenderaan tersebut pergi menikmati makanan di Cafe Malaya. Tuannya orang Kedah dan berkahwin dengan penduduk Kemboja. Saya tidak berbual dengan tuannya tetapi isterinya yang menjaga kaunter dan fasih berbahasa Melayu memberitahu. Di Phnom Penh juga terdapat beberapa restoran makanan halal yang lain selain restoran mamak!

Kami juga berkunjung ke Istana Diraja, Muzium dan Padang Pembunuhan semasa pemerintahan Khmer Rouge. Saya dan rakan-rakan turut menggunakan masa senggang yang ada berkunjung ke Penjara S21, asalnya sekolah sebelum ditukar menjadi tempat penyiksaan oleh rejim Khmer Rouge. Saya berharap dapat menulis tentangnya di kolum Carpe Diem (JalanTelawi.com) untuk bulan Mac.

Sebenarnya program tamat semalam. Sambil yang lain pulang ke negara masing-masing, saya dan isteri menginap di sebuah hotel berhampiran dengan kadar 20 dolar satu malam untuk bersiar-siar. Pagi tadi kami bertolak ke Siem Reap seawal jam 8.30 pagi (9.30 pagi waktu Malaysia). Berhenti di Jalan Demokrasi pada pukul 11.30 waktu Kemboja untuk makan tengah hari, kami menyambung perjalanan dan tiba di Siem Reap sekitar pukul 1 petang sebelum mendaftar penginapan di Hotel Empress Angkor.

Petang tadi saya dan isteri telah meninjau dan membeli sedikit barangan di Pasar Pusat, melihat seni kemahiran tangan Artisan dan esok kami mahu ke Angkor Wat.

Sebenarnya, wang perbelanjaan kami juga sudah kian susut tetapi tidak ada keperluan untuk membeli barangan lagi. Baki wang kami hanya untuk tiket masuk ke Angkor Wat (20 dolar seorang!), bayaran Tuk Tuk (kenderaan yang selesa dan mudah dengan kadar separuh hari ke mana sahaja bernilai 10 dolar), cukai lapangan terbang (25 dolar seorang!), makan minum tiga kali (mungkin mencecah 30 dolar seorang).

Umumnya, Kemboja sangat dipengaruhi oleh kepercayaan Buddha. Negara yang mempunyai Raja-nya tersendiri ini mempunyai sejarah panjang. Pada hemat saya, berdasarkan seni budaya yang ada, mereka pernah menikmati sejarah hebatnya tersendiri. Namun, sejarah di bawah pemerintahan Khmer Rouge kekal menjadi 'ingatan berdarah' untuk ramai orang di sini. Saya bertuah kerana bertemu dengan ramai orang baik-baik. Saya fikir orang Kemboja cukup lurus dan boleh dipercayai. Namun, rakan saya di sini mengingatkan bahawa orang Kemboja berada di dua kutub ekstrim, boleh jadi terlalu baik atau terlalu ganas.

Orang Kemboja lazimnya kuat bekerja. Cuma, mereka kurang berkemahiran. Kebanyakan mereka hidup dengan pendapatan purata bulanan sekitar 150 dolar. Bagi yang bernasib baik sedikit, pendapatan mereka akan mencecah sehingga 300 dolar. Bagi yang bekerja dengan kerajaan, mereka dianggap orang kaya dan hidup selesa atau mewah.

Sebenarnya saya pun bukanlah kaya dan kemampuan kami di sini juga terhad. Saya dan isteri sentiasa cuba membungkus lebihan roti di hotel supaya dapat kami agihkan kepada anak dan ibu di jalanan ketika kami ke Pasar Pusat. Tentulah saya gembira melihat mereka tersenyum dan dapat menangguhkan kelaparan. Mujur pihak hotel pun tidak banyak soal dan suka memberikan kami kotak-kotak untuk diisi roti-roti ini. Barangkali mereka pun tahu bahawa kami akan mengagihkannya kepada anak dan ibu di jalanan itu.

Semalam, pemandu Tuk Tuk saya ialah seorang tua. Sim Man namanya. Umurnya sudah 64 tahun. Dia tidak fasih berbahasa Inggeris. Matanya juga sudah tidak begitu baik. Dia segan bila saya ajak makan bersama. Untuk dia, saya belikan sebungkus nasi goreng ayam untuk dimakan. Sebungkus nasi bernilai sekitar 4 dolar dan nasinya cukup banyak - boleh dimakan oleh 3 orang! Sim Man menjelaskan kepada saya bahawa dia lebih suka diberi makan bungkus kerana mahu makan bersama anaknya. Oh, hati seorang ayah. Kata Sim Man, dia biasa bekerja dari jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Pemandu saya hari ini ialah Sam. Dia penganut Buddha. Tadi semasa makan malam saya ajak dia ikut serta makan bersama. Sam tidak ralat seperti Sim Man. Saya mengambil peluang untuk berbual dengannya. Sam sudah berusia 32 tahun tetapi masih bujang. Dia baru berkenalan dengan seorang gadis. Katanya ada rakan memperkenalkan mereka. Dulu Sam mengajar kanak-kanak di tadika. Gajinya waktu itu hanya 80 dolar sebulan dan kadangkala dia mendapat duit lebih kerana mengajar tusyen. Sebenarnya Sam tidak tamat pengajian. Dia berhenti kerana kesempitan wang. Tapi saya dapat lihat kecerdasannya. Mungkin kerana itu dia dipercayai untuk mengajar. Sam mula membawa Tuk Tuk sejak 3 tahun lalu kerana mahu mencari lebihan kewangan untuk berkahwin. Jadi, saya dan isteri bercadang menggunakan khidmat Sam sehingga hari terakhir kami di sini untuk membantu dia mengumpul wang.

InsyaAllah, hari Sabtu ini saya akan pulang ke Malaysia semula. Malam ini saya terpaksa menggaru kepala yang tidak gatal kerana ada dua tugasan yang perlu disiapkan!