4/30/2011

Soal

Saya masih ingat sekitar tahun 2001/2002 ketika hadir dalam satu sesi seminar anjuran Institut Kajian Dasar (IKD), saudara Eddin Khoo seakan mengeluh "jika kita bandingkan soalan kebanyakan mahasiswa dan juga soalan rakan kita dari Indonesia sebentar tadi ternyata ia menunjukkan kualiti soalan yang berbeza"

Saya fikir, tanpa bermaksud mengaibkan sesiapa, Eddin telah menunjukkan antara permasalahan dalam budaya pendidikan di Malaysia. Masalah ini jelas boleh dilihat daripada jenis soalan yang ditanya.

Saya boleh bersetuju dengan Eddin kerana merasakan sendiri betapa susahnya untuk sampai ke tahap sekarang, dan itu juga masih jauh daripada memuaskan. Ia mungkin satu jawapan kenapa kadangkala kita (ertinya termasuk saya!) berdepan masalah gugup untuk bertanya atau gagal memberikan pandangan yang inklusif, dalam pengertian mengambil pertimbangan pelbagai sisi pandangan.

4/27/2011

Kencing

Große Lüge, begitu orang Jerman menyebutnya.

Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Hitler pernah mengungkap kata "jika anda membuat penipuan yang cukup besar dan berterusan mengulanginya, lambat laun orang akan mempercayainya".

Bodoh

Media adalah institusi penting dalam demokrasi. Sebagaimana pasaran bebas dalam ekonomi, pasaran bebas dalam politik juga hanya lebih berpeluang mencapai tingkat lebih baik dengan cukupnya maklumat. Justeru, media harus mengambil sikap sebagai pengendali dialog nasional untuk apa juga isu berbangkit. Media tidak wajar menjadi perancang dan alat pemanjangan fitnah dan adu domba. Cara itu hanyalah usaha si bodoh yang berterusan mahu membodohkan orang ramai. Sambil media perlu menjalankan peranan tersebut, si pembaca juga tidak seharusnya selesa membiarkan diri bodoh dan sedia diperbodohkan.

4/26/2011

Epistemologi Islam

Saya tidak pasti sejauh mana masyarakat terdedah dengan persoalan epistemologi. Saya sendiri tidak berani mengatakan bahawa saya memahami sepenuhnya. Mungkin, disebabkan pengakuan itu, ada yang berasa mereka telah memahami sepenuhnya mengambil pengakuan saya sebagai 'tumit Achilles' kepada 'debat' yang sesekali berlaku. Ironinya, ketika saya mengambil sikap berdepan dengannya, kesimpulan 'kekeliruan epistemologi' yang telah diputuskan kepada saya itu bertukar kepada 'jelaskan faham kamu untuk kami menilainya'. Ia membuatkan saya tertanya "sekarang siapa yang ada masalah epistemologi?"

Mungkin, dengan beberapa tulisan yang mahu saya tulis, mereka akan lebih berpeluang untuk mencari atau menemukan kekeliruan saya, supaya senang mereka mengambil garis hukum kemudiannya.

Apa itu epistemologi? Ia adalah cabang falsafah yang mengkaji persoalan ilmu. Soalan asas yang cuba dijawab ialah "apakah yang membezakan ilmu yang benar (atau mencukupi) dengan ilmu yang salah (atau tidak mencukupi). Soalan asas tersebut kemudian akan bergerak kepada soalan selanjutnya iaitu "bagaimana anda mengetahui perbezaan ilmu yang benar (atau mencukupi) dengan ilmu yang salah (atau tidak mencukupi) itu."

Secara ringkasnya ia menyentuh persoalan keyakinan dan keabsahan.

Dalam perkembangan falsafah di Barat khususnya, muncul dua aliran besar - empirisme dan rasionalisme. Yang awal berpendapat ilmu tentang sesuatu hanya boleh diperolehi dengan cara kita melaluinya - merujuk kepada pengalaman (posteriori); sementara yang kemudian berpendapat ilmu tentang sesuatu boleh diperolehi sebelum kita melaluinya (priori). Umumnya, ada yang berpendapat sesuatu ilmu itu mesti dibuktikan dulu untuk mendapat keabsahan dan ada yang berpendapat tidak semestinya atau ilmu boleh diabsahkan tanpa pembuktian terlebih dahulu.

Saya fikir kedua-duanya mempunyai 'kebenaran' tersendiri dan mungkin disebabkan itu kedua-duanya mempunyai 'pengikutnya' tersendiri yang 'yakin' dengan 'kebenaran' tersebut. Namun, saya tertanya kenapa mesti kedua-dua ini diletakkan sebagai pertentangan? Ia nanti akan berbalik kepada pertembungan akal dan kepercayaan.

Saya cenderung bersetuju dengan pandangan St. Thomas Aquinas yang melihat akal dan kepercayaan adalah sumber di mana iman 'hidup'. Selalunya, orang yang percaya kepada akal cenderung tidak berpuas hati dengan kenyataan 'percaya' tanpa perlu dibuktikan. Konfliknya, setakat pemahaman saya, ialah dalam hal membezakan 'kepercayaan yang boleh diadakan hujah akal baginya atau tidak'.

Sudah dijual di toko buku


Inilah buku pertama saya. Tajuknya Pemanasan Global dan Perubahan Iklim. Saya menulisnya dalam bahasa Melayu. Saya fikir tulisannya ringkas dan mudah difahami. Saya cuba membawa pelbagai perspektif yang kemudiannya terkait dengan persoalan dasar.

Anwar Dalam Bicara

There is a higher court than courts of justice and that is the court of conscience. It supercedes all other courts.

- Mohandas Gandhi

Ad Verecundiam

Satu daripada kesalahan berfikir atau falasi ialah penisbahan kepada autoriti. Dalam istilah latin, ia disebut Argumentum Ad Verecundiam. Dalam maksud lain, ia menyandarkan kebenaran hujah kepada sumber hujah berautoriti. Misalnya A ialah Ketua Negara dan Ketua Negara adalah satu simbol autoriti. Oleh kerana itu, percakapan atau perbuatan Ketua Negara itu dianggap sebagai sentiasa benar.

Ini tentulah sukar diterima meskipun saya berpandangan bahawa untuk mengatakan Ketua Negara itu sentiasa tidak benar juga adalah satu kesalahan berfikir. Sumber autoriti ini terdedah kepada sikap 'mekanisme bertahan' (defense mechanism). Di samping itu, tidak ada sesiapa yang tahu segalanya. Jika ada yang tahu 'lebih' daripada sumber lain, ia tidak sewajarnya menjadi satu halangan kepada pencarian baru.

Saya sering menyatakan paradoks 1) manusia meyakini bahawa ilmu Allah s.w.t. adalah Maha Luas dan 2) manusia tidak mungkin terjangkau keluasan ilmu Allah s.w.t. itu. Dalam hal ini, manusia mengaku bahawa ada ruang yang cukup besar untuk 'mengetahui'. Parados ini juga boleh ditambah 'beratnya' dengan kenyataan 3) semua masalah manusia perlu diselesaikan dengan ilmu.

Ini sedikit sebanyak menyentuh cabang persoalan epistemologi - bagaimana ilmu diperolehi?

4/23/2011

Masyarakat Kayangan dan Pemikiran Kaum di Malaysia

Semalam sekali lagi saya mempengerusikan sesi Bukit Tunku Society di IDEAS. Nara sumber kali ini ialah saudara Eddin Khoo, budayawan dan juga pengasas PUSAKA, Pusat Kajian dan Dokumentasi Tradisional.

Eddin ialah anak kepada Profesor Khoo Khay Kim, sejarahwan yang terkenal di Malaysia. Maka, sesi semalam banyak menghidangkan sejumlah perspektif sejarah yang pada saya cukup kritikal.

Sebenarnya tema masyarakat kayangan ialah terjemahan bebas Eddin terhadap konsep imagined communities yang pernah dilontarkan oleh Benedict Anderson. Kebetulan saya sudah hampir siap menterjemah satu karya Rustam A. Sani yang mungkin cuba membumikan konsep yang sama dengan istilah Negara Hasrat.

Saya bersetuju dengan Eddin secara asasnya dalam hal melihat permasalahan di Malaysia hari ini ada dalam perjalanan sejarah kita, yang berdepan dengan krisis akibat tekanan politik sehinggakan sosok sosio-budaya yang punya ciri kosmopolitan itu hilang jauh entah ke mana. Lebih buruk lagi, sejarah Malaysia kini terpusat kepada sosok bernama Mahathir Mohamed dan ini diistilahkan sebagai Mahathirisme; mantan Perdana Menteri Malaysia yang pernah memperkecilkan nilai sejarah saat sini menempelak suara ramai yang menolak cadangan beliau meruntuhkan Stadium Merdeka. Selain itu, Mahathir juga tidak melihat pendidikan kemanusiaan sebagai penting dan bermakna.

Justeru, antara agenda penting yang perlu disedari ramai ialah menyahkan Mahathirisme.

Bersama Ketua Google Malaysia


Hari Selasa yang lalu saya menghadiri siri CEO anjuran Young Corporate Malaysians (YCM). Isteri saya ialah salah seorang jemaah Pengerusi dalam organisasi tersebut dan beliau telah berjaya mendapatkan Encik Sajith Sivanandan untuk mengisi siri ini.

Encik Sajith ialah warganegara India yang dipilih menjadi Ketua Google Malaysia. Perkongsian beliau pada malam itu sebenarnya ialah program pertama beliau di Malaysia. Saya suka perwatakan beliau yang santai dan lebih menarik untuk saya ialah kerana beliau merupakan seorang graduan Sejarah.

Kami berbual pelbagai perkara sebelum dan selepas program. Kemudian, saya pulang dan membaca 10 perkara utama yang menjadi falsafah Google. Untuk saya ia sangat menarik dan Encik Sajith menjadi bukti kepada falsafah ini.

4/22/2011

Bila Mantan Ketua Siasatan Jenayah PDRM, KL menulis kepada Ketua Polis Negara

Mat Zain Ibrahim
18hb.April 2011

Kepada;

YDH Tan Sri Haji Ismail Hj.Omar,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur,

Melalui:Email dan Dengan Tangan
Email:iho@rmp.gov.my

YDH Tan Sri,

SIASATAN VIDEO SEKS 2011-PERSAMAAN DAN PERBEZAAN DENGAN VIDEO SEKS PERTAMA 1999.

1. Sepertimana juga sebilangan besar rakyat,saya turut mengikuti perkembangan penyiasatan Polis berkaitan isu video seks menerusi MSM dan juga media alternatif yang akan masuk minggu ke-empat.Berdasarkan kepada komen-komen mereka yang berpeluang membuatnya,menampakkan ramai yang mempersoalkan hala tuju penyiasatan Polis. Malah ramai yang membantah secara lantang pendirian Polis yang dikatakan jelas kelihatan berat sebelah terhadap satu pihak yang bertelagah dalam isu ini.

2. Saya jemput Tan Sri merujuk kepada Surat Terbuka saya bertarikh 28 March 2011 yang kemudiannya dibahaskan diParlimen.Saya mengekalkan dan mengulangi kenyataan-kenyataan saya dalam Surat Terbuka tersebut,serta mengambil kandungannya sebagai sebahagian dan lanjutan kepada surat ini.Saya mengekalkan pendirian saya bahawa isu video lucah ini adalah merupakan pertembungan peribadi antara Rahim Thamby Chik dan Anwar Ibrahim.

3. Saya yakin Polis mampu mengambil pendirian yang professional dan berkecuali menangani siasatan ini,serta memberikan pendengaran yang adil kepada kedua- dua belah pihak,sambil memberikan mereka “gelanggang yang samarata”(level playing field),untuk membuktikan kebenaran masing-masing.

4. Bukan menjadi hasrat saya mencampuri siasatan Polis,namun begitu sebagai seorang pesara Polis yang berpeluang menangani isu-isu yang berkaitan dengan Anwar dan Rahim serta beberapa kenamaan lain ketika dalam perhidmatan,saya rasa terpanggil untuk mendedahkan maklumat-maklumat yang saya percaya dapat membantu siasatan.

4.1. Saya dapati ada beberapa perkara mustahak yang ada hubungkait dengan siasatan isu video lucah ini,tetapi tidak diumumkan kepada rakyat yang boleh mengelirukan persepsi mereka.Saya berharap ketinggalan ini adalah disebabkan Polis terlepas pandang dan bukannya dengan sengaja atau curang menyembunyikan fakta-fakta mustahak demikian.

VIDEO SEKS PERTAMA 1999.

5. Saya percaya sebilangan besar rakyat malahan warga Polis sendiri tidak sedar dan mungkin akan terkejut bila mengetahui keujudan Video Seks Pertama yang kononnya dikatakan melibatkan Anwar juga,yang diedarkan dalam tahun 1999.Pengedaran video seks ini disekitar Bandaraya Kuala Lumpur berlaku pada 24 dan 25 November 1999 beberapa hari sebelum Pilihanraya Umum ke-10 yang diadakan pada 29 November 1999.

5.1. Terdapat dua video seks yang diedarkan serentak. Iaitu satu berjudul “Siapa Anwar” manakala yang satu lagi berjudul “Skandal Seks Mat Sabu” (merujuk kepada Mohamed Sabu seorang pemimpin PAS).Bagi maksud eksesais ini saya akan ketepikan video Skandal Seks Mat Sabu, memandangkan isu beliau tidak berkaitan dengan penyiasatan yang sedang berjalan sekarang.

5.2. Beberapa ramai orang awam dari sekitar Kuala Lumpur yang menemui video-video ini yang dikatakan ditinggalkan dihadapan rumah atau pejabat atau lain-lain premis,tampil membuat laporan masing-masing dan menyerahkan video-video berkenaan kepada Polis.Antara mereka adalah seorang Encik Mohd.Zainuddin Arman dan seorang Encik Onn Abu Bakar. Antara report Polis yang berkaitan ialah Ceras Rpt No:19068/99 dan Sungai Besi Rpt No:5894/99 bertarikh 25.11.1999.Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur telah membuka satu kertas siasatan berkaitan kes ini dengan kesemua laporan-laporan yang diterima di-“cross refer” kepada laporan Pertama seperti yang lazimnya.KJSJ Kuala Lumpur ada membuat kenyataan akhbar mengesahkan menerima laporan-laporan dan video-video tersebut, serta memperakukan yang kes berkenaan sedang dalam siasatan Polis.

5.3. Saya sendiri telah melihat video-video tersebut sekurang-kurangnya dua kali. Pertama kali adalah bersama dengan beberapa Pegawai Kanan JSJ Kuala Lumpur bagi menentukan klasifikasi penyiasatan yang betul.Kali kedua bersama mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, dipejabat KJSJ setelah YBhg.Tan Sri Datuk Bandar terbaca berita mengenai edaran video ini diakhbar.Setakat yang saya masih ingat, antara kandungan Video Seks Pertama 1999 ini,terdapat juga rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki yang dikatakan Anwar dengan seorang teman wanitanya.

5.4. Penyiasatan JSJ Kuala Lumpur berjaya mengesan dan mengenalpasti “sumber” Video Seks Pertama 1999.Bagaimanapun gagal untuk mengenalpasti orang atau orang-orang yang bertanggungjawab dengan pengedarannya kepada umum. Namun begitu pengedarannya dipercayai bermotifkan politik bersandarkan ianya dibuat beberapa hari sahaja sebelum Pilihanraya Umum ke-10.Sepanjang yang saya ingat tidak ada pihak yang mengaku bertanggung jawab mengedarkan video seks berkenaan.

5.5. Selain itu,tidak dapat disahkan sama ada pengadu-pengadu yang tampil membuat report mengenai penemuan Video Seks Pertama ini, telah membuat salinan untuk simpanan mereka sendiri atau sebaliknya,sebelum menyerahkan kepada Polis.Beberapa orang pengadu dikenalpasti sebagai ahli Parti Keadilan.

VIDEO SEKS KEDUA 2011.

6. Memandangkan Kumpulan yang menggelar diri mereka Datuk T,terdiri daripada Rahim,Shuib dan Eskay telah membuat pengakuan secara terbuka dan mengambil tanggung jawab diatas penemuan dan penayangan video lucah (akan dirujuk sebagai Video Seks Kedua 2011) kepada beberapa ramai pemberita di-Carcosa Seri Negara pada 21 March 2011,maka beberapa perbandingan dan persoalan boleh ditimbulkan berkaitan kedua-dua video seks ini.Saya berpendapat penyiasatan lanjut berkaitan Video Seks Kedua 2011 wajib mengambilkira keujudan dan keadaan berkaitan Video Seks Pertama 1999.Terdapat “nexus” antara kedua Video Seks ini.

Antara persoalannya adalah seperti berikut:-

6.1. Adakah Video Seks Pertama itu juga tulen sepertimana Video Seks Kedua yang ketulenannya telah diistiharkan secara rasmi.

6.2. Adakah kandungan adegan-adegan dalam Video Seks Pertama, sama ada sepenuhnya atau sebahagian daripadanya terdapat juga dalam Video Seks Kedua.

6.3. Adakah identity lelaki dalam Video Seks Kedua yang Polis telah istiharkan boleh dikenalpasti secara positif itu, lelaki yang sama dalam Video Seks Pertama.

6.4. Adakah rakaman suara lelaki dalam Video Seks Pertama itu milik lelaki yang dikatakan boleh dikenalpasti dalam Video Seks Kedua.

6.5. Adakah rakaman suara wanita dalam Video Seks Pertama itu milik wanita yang dikatakan telah dikenalpasti dalam Video Seks Kedua .

6.7. Adakah lokasi pengambaran Video Seks Pertama itu sama dengan lokasi pengambaran Video Seks Kedua.

6.8. Adakah Rahim,Shuib dan Eskay terlibat atau mempunyai apa-apa peranan dalam
pembikinan atau pengedaran Video Seks Pertama 1999, memandangkan ketiga-tiga mereka dilaporkan telah mengenali dan mempunyai sesuatu hubungan dengan Anwar.Lebih-lebih lagi Rahim yang dipercayai mempunyai sebab untuk menyimpan dendam terhadap Anwar oleh kerana Anwar telah membuat laporan Polis membabitkan salahlaku jenayah dan perbuatan rasuah Rahim bersabit Tun.H.S.Lee Rpt:22517/99 pada 20.8.1999.Iaitu lebih kurang 3 bulan sebelum Video Seks Pertama diedarkan kepada umum pada 24/25 November 1999.

7. Selain daripada laporan Polis melibatkan Rahim,Anwar juga telah membuat 3 laporan berasingan melibatkan beberapa orang kenamaan lain beberapa bulan sebelum pengedaran Video Seks Pertama itu,seperti berikut;

7.1. Dang Wang Rpt:20255/99 bertarikh 9.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri,Peguam Negara dan Gani Patail telah menyalahgunakan kuasa kerana tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Rafidah Aziz,atas sifat Menteri MITI, telah dengan secara rasuah memberikan saham kepada menantunya.

7.2. Tun H.S.Lee Rpt:19625/99 bertarikh 21.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasanya dengan menghalang tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Eric Chia (mendiang), yang telah dikatakan melakukan penyelewengan dan rasuah menyebabkan Kumpulan Perwaja mengalami kerugian RM 2.7 billion.

7.3. Tun H.S.Lee Rpt:20455/99 bertarikh 30.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasa dengan melindungi perbuatan rasuah Tun Daim Zainuddin.Dalam laporan ini juga Anwar membuat dakwaan khusus terhadap Tun Daim yang dikatakan telah mengumpul harta peribadi secara rasuah bernilai ratusan juta ringgit.Anwar turut menyertakan tiga surat perakuan oleh individu berlainan selaku penyimpan dan pemegang amanah harta bagi pihak Tun Daim.Mereka yang dimaksudkan ialah;Tan Sri Abdul Halim Saad sebagai pemegang amanah saham-saham dalam Syarikat Senarai Awam bernilai lebih kurang RM 150 juta.Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah sebagai pemegang tunai berjumlah RM 150 juta.dan Tan Sri Tajuddin Ramli sebagai pemegang tunai RM 70 juta.

8. KJSJ Kuala Lumpur memberi perhatian kepada laporan-laporan yang dibuat oleh Anwar seperti diatas memandangkan dokumen-dokumen bukti yang Anwar kemukakan dengan tiap satu laporan beliau,telah diperolehinya ketika beliau masih memegang jawatan dalam Kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri.Laporan-laporan beliau diterima sebagai dibuat oleh seorang mantan Timbalan PM dan bukan sebagai seorang individu bernama “Anwar”.

8.1. Sama ada pendedahan yang beliau buat seperti diatas telah menyebabkan individu-individu terlibat atau orang-orang sekeliling mereka marah dan menyimpan dendam terhadap Anwar tidak diketahui tetapi tidak boleh diketepikan.

SUMPAH PALSU RAHIM BUAT KEPADA PERDANA MENTERI.

9. Satu diantara 4 kesalahan jenayah yang pihak BPR dan Jabatan Peguam Negara sahkan mempunyai keterangan “prima-facie” terhadap Rahim ialah; kerana membuat satu Akuan Statutori Palsu (atau dalam bahasa yang mudah;”Angkat Sumpah Palsu”), suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 7 tahun jika disabitkan kesalahannya.Akuan palsu ini dikatakan dibuat kepada Perdana Menteri dan di-Jabatan Perdana Menteri ketika itu.

9.1. Persoalan yang boleh ditimbulkan dalam situasi ini adalah; sama ada keterangan Rahim dalam siasatan Video Seks Kedua, boleh diterima pakai sepenuhnya, memandangkan Rahim telah sanggup sehingga mengangkat sumpah palsu kepada Perdana Menteri dan Kerajaan untuk menyembunyikan kesalahan-kesalahan jenayah yang beliau telah lakukan seperti yang dilaporkan oleh BPR sedemikian itu.Jika demikian,kesanggupan Rahim memberi kesaksian palsu dalam siasatan Video Seks Kedua tidak boleh diperkecilkan.

9.2. Walaubagaimanapun saya berpendapat “benefit of the doubts” wajar diberi kepada Rahim berkaitan penglibatannya dalam Video Seks Kedua.Saya sarankan siasatan wajar dijalankan sama ada Rahim telah dihasut,dipaksa atau diugut untuk mendapatkan apa-apa keterangan dengan apa cara sekalipun untuk mensabitkan sesuatu kesalahan jenayah terhadap Anwar;sebagai balasan Peguam Negara kepada Rahim yang tidak dituduh atas beberapa kesalahan salahguna kuasa,rasuah dan membuat akuan statutory palsu.

9.3. Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.Ini memandangkan Peguam Negara,Gani Patail antara 26.10.1998 hingga 21.12.1998 telah dengan cara yang menyalahi undang-undang mendapatkan seorang Dr.Abdul Rahman Yusof menyediakan tiga laporan perubatan palsu terhadap Anwar dalam siasatan kes mata-lebam.Dipercayai sebagai balasannya, Dr.Rahman tidak dikenakan apa apa pertuduhan oleh Gani Patail dalam kes ugutan jenayah terhadap Dr.Rahman.Salahlaku jenayah Gani Patail sedemikian itu beserta dengan bukti-bukti yang tidak disangkal adalah dalam pengetahuan persendirian YAB Perdana Menteri sejak dua-setengah tahun yang lalu.

JAM TANGAN OMEGA

10. Pada pendapat saya,sekiranya penyiasatan kes Video Seks Kedua ini dikekalkan dibawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan semata-mata,maka penyiasatan lanjut untuk mengesan pemilik Jam Tangan Omega tersebut adalah tidak relevan serta melampaui keperluan “ingredients” yang wajib dibuktikan dibawah Seksyen 292 KK tersebut.

10.1. Dengan itu izinkan saya menyarankan supaya Pegawai Penyiasat kes melebarkan klasifikasi penyiasatan kepada Seksyen 192 Kanun Keseksaan iaitu,mereka keterangan palsu.Saya sarankan supaya Pegawai Penyiasat memfokuskan perhatian kepada misalan-misalan yang sedia ujud sekian lama,sepertimana diperturunkan dibawah.

Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

Misalan-Misalan.
(a)A memasukkan barang-barang kedalam sebuah peti kepunyaan Z,dengan niat supaya barang-barang itu boleh dijumpai dalam peti itu,dan supaya keadaan ini boleh menyebabkan Z disabitkan atas kesalahan mencuri.A telah mereka keterangan palsu.

(English version)
(a)A puts jewels into a box belonging to Z,with the intention that they may be found in that box,and that this circumstance may cause Z to be convicted of theft.A has fabricated false evidence.

10.2. Berdasarkan kenyataan Eskay sendiri kepada media cara bagaimana Jam Tangan Omega tersebut sampai ketangan beliau,serta mengambil kira hubungan akrab beliau dengan Anwar, serta motif Eskay mendedahkan video seks berkenaan, tidak keterlaluan untuk saya berpendapat bahawa misalan (a) dalam Seksyen 192 Kanun Keseksaan tersebut, mungkin adalah relevan.

10.3. Pada pendapat saya beban bukti yang jam Omega tersebut tidak diperlakukan sepertimana misalan yang tersebut diatas kini terletak dibahu Eskay dan bukan pemilik berdaftar jam Omega tersebut.

10.4. Berdasarkan kepada keadaan yang mengelilingi Video Seks Kedua ini,saya berpendapat bahawa terdapat kewajaran untuk melebarkan siasatan meliputi pembuktian kes dibawah Seksyen 192 Kanun Keseksaan.Ini sebagai peringatan kepada orang ramai akan betapa seriousnya perbuatan mereka keterangan palsu dan kesan jangka panjangnya terhadap Sistem Keadilan Jenayah kita.

PENYELESAIAN ISU “ONCE AND FOR ALL”

11. Ada kalanya kita harus berani melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menyelesaikan sesuatu masaalah “once and for all”.Asalkan tindakan-tindakan yang diambil tidak menyalahi undang-undang Negara dan Hukum Syariah atau melanggar paraturan moral.Sekiranya kita tersesat jalan, tidak salah kita berpatah balik kepangkalnya untuk mencari jalan yang betul.

11.1. Selama lebih 12 tahun pemikiran rakyat telah bergelumang dan diracuni serta dicemari dengan isu-isu yang berkisar dengan seks luar nikah dan seks luar tabii,seolah-olah tidak ada perkara yang lebih penting daripada itu untuk rakyat fikirkan.Malahan pemain-pemain utama yang terlibat dalam kekalutan ini juga berkisar diantara beberapa individu sahaja yang nama-nama mereka hampir kesemuanya terdapat dalam surat kecil ini.

11.2. Sebelum kita tersasar lebih jauh,tidak salah untuk kita dibawa berpatah balik kepangkal jalan, untuk meneliti semula peristiwa lampau bagi mencari penyelesaian yang ideal dan membuat keputusan siapa yang benar dan siapa yang patut dipersalahkan kerana telah menyebabkan kegusaran dan kekeliruan dikalangan rakyat.Saya mencadangkan tindakan-tindakan berikut;

TAYANGKAN VIDEO SEKS PERTAMA 1999 KEPADA UMUM.

12. Saya menjangka akan dikecam membuat cadangan ini.Percayalah,saya yang menyelia penyiasatan kes ini dan ingatan saya masih segar akan apa yang terkandung dalam video tersebut.Video tersebut tidak mengandungi adegan- adegan seksual seperti dalam “blue film” yang mungkin sesetengah orang harapkan.Kandungan keseluruhannya pada pendapat saya tidak tergulung sebagai bahan lucah sepertimana tafsiran dalam Seksyen 292 Kanun Keseksaan.Tayangannya kepada umum juga pada pendapat saya tidak menyalahi mana-mana undang-undang Am atau Syariah.

12.1. Sepanjang yang saya ingat, kandungan Video yang dibertajuk “Siapa Anwar” lebih berbentuk documentary yang menggambarkan kisah hidup seksual Anwar.Video ini juga mendedahkan gambar-gambar lokasi/bilik hotel dimana Anwar dikatakan sering kunjungi untuk melakukan aktibiti seks luar nikah atau luar tabii beliau.Turut dimuatkan dalam video ini adalah rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki yang dikatakan Anwar dengan teman wanitanya dan bercakap mengenai seks.Video ini disunting sedemikian rupa yang sesuai digunakan untuk meyakinkan penuntun bahawa Anwar adalah seorang yang tidak bermoral dan tidak layak dan sesuai untuk menjadi pemimpin, lebih-lebih lagi kepada Masyarakat Melayu yang beragama Islam.

12.2. Saya yakin selepas rakyat diberi peluang menuntun video ini,khasnya orang-orang Melayu, mereka boleh membuat keputusan masing-masing, sama ada Anwar benar-benar seorang yang tidak mempunyai moral untuk layak menjadi pemimpin dan Perdana Menteri seperti yang cuba digambarkan, ataupun video tersebut telah direkacipta oleh musuh-musuh peribadi dan politik Anwar bertujuan memfitnah dan membunuh karier politik beliau,ataupun kerana membalas dendam akibat pendedahan Anwar berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah pemimpim-pemimpin tertentu sepertimana yang disebutkan dalam perenggan 6.8 dan 7 diatas.Sekiranya anggapan yang terkemudian ini yang betul,maka tindakan undang-undang yang setimpal terhadap individu yang melakukan jenayah tersebut hendaklah dilaksanakan tanpa lengah lagi without fear or favour.

PENUTUP.

13. Lebih cepat kita menyelesaikan isu ini,lebih baik untuk rakyat jelata.Selamat maju jaya dan selamat sejahtera.


Yang benar,
tt
(Mat Zain Ibrahim)
18 April 2011


Sk.
SUPM (untuk makluman KPN dan T/KPN)

Tidak minat politik...

Saya tidak tahu, tapi saya fikir mereka yang kerap mengulang kata "aku tidak minat politik" sebenarnya jika ditanya belum tentu mereka dapat menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan politik itu sendiri. Saya fikir yang dimaksudkan dengan politik di sana sebenarnya ialah 'politiking'.

Jika seorang manusia itu mahu mengekalkan kewarasannya, dia wajar sedar bahawa melawan rasuah, kezaliman dan salah guna kuasa sebenarnya tidak memerlukan mereka minat dengan politik. Ia adalah sejenis sifat alamiah; dan mereka wajar sedar bahawa dengan mereka tidak menyatakan sikap terhadap kecelakaan itu dengan kata "aku tidak minat politik" sebenarnya adalah petunjuk mula ketewasan mereka. Tewas dalam erti kata sifat alamiah dalam diri mereka sudah tidak berfungsi sewajarnya.

4/20/2011

Emel 1Malaysia

Petang itu Billy Gates terkejut. Hairan dia dengan budak lelaki yang berkahwin dengan seorang artis itu yang baru saja menjerit kepada sekumpulan anak muda "Heh, aku ada e-mel 1Malaysia tau! Kau apa ada?"

Ketawa budak-budak kampung yang duduk di warung Pak Jabit itu pecah berderai. "Kah, kah, kah. Kau nak tahu apa kami ada?" Pantas seorang demi seorang menyebut "Aku ada Gmail", "Aku ada Yahoo!", "Aku ada Hotmail" dan yang akhir "Aku ada AminAhmad.com".

Adik Menteri Utama itu nampak marah. Dia sangka dia yang sepatutnya paling pandai dan maju. Merah padam muka dia macam terbakar kesan tempias letupan C4. Sekarang dia perlu minta si penjual karpet membiayai empat orang budak kampung itu keluar negara supaya urusan dalam negara tidak akan diganggu lagi.

Bila dia termenung sendirian, terfikir "Rakyat Malaysia ini ada sekitar 27 orang. Nak buat e-mel 1Malaysia itu dalam RM50 juta. Pukul rata satu e-mel lebih kurang RM2. Tapi bukankah e-mel itu boleh didapatkan percuma oleh mereka? Apa bodohnya aku ni?"

Tapi kemudian dia sedar "Ah, bodoh-bodoh aku pun bodoh lagi mereka yang setuju untuk luluskan projek ni!". Dia senyum puas. Dia tahu nanti poket dia akan penuh. Kalau tak baik tak payah buat projek ini!

4/17/2011

Kata-Kata Mereka, Kisah Mereka

Sebenarnya filem ini telah lama saya tonton. Ia adalah sebuah filem anti-perkauman yang mengambil konteks pendidikan sebagai medium penyampaian mesejnya. Kata kunci kebebasan dan juga anti-perkauman di sana cukup untuk menarik saya membeli dan menontonnya kerana kedua-duanya mempunyai pengertian sendiri dalam realiti hidup di Malaysia.

Keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak

Tahniah diucapkan kepada semua yang menang dan kalah dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Saya melihat keputusan ini sebagai satu situasi menang-menang kepada banyak pihak.

1) BN menang 2/3 dan sekali lagi membentuk kerajaan negeri.
2) Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri, menegaskan hak negeri untuk menentukan kepimpinan dan sekaligus menolak desakan Dato' Seri Najib, juga Tun Dr. Mahathir.
3) Pakatan Rakyat meningkatkan upaya penembusan di kawasan pedalaman dan rumah panjang di samping mengekalkan penguasaan di bandar.

Itu dalam konteks pemimpin dan parti bertanding.

Di pihak rakyat, saya melihat wujudnya keberanian baru di kalangan mereka untuk menegaskan suara perubahan. Namun, ada sesuatu yang mesti diberi tumpuan dalam konteks sistem yang menyebelahi mereka. Sebagai contoh, BN mendapat 372, 379 undi dan memenangi 55 kerusi sementara lawan mereka mendapat 310, 475 tetapi hanya mendapat 16 kerusi. Jelas di sana, persempadanan semula oleh BN adalah bertujuan politik dan bukan atas maksud mendaulatkan kuasa rakyat.

Itu belum mengira faktor kebebasan media, peraturan Pilihan Raya serta perlaksanaannya yang cukup aneh dan sebagainya.

Apapun, Pilihan Raya Negeri Sarawak telah tamat dan Pilihan Jalan Raya BERSIH 2.0 akan mengambil tempat tidak lama lagi.

4/15/2011

Revolusi Kenyalang?



Selamat mengundi kepada semua rakyat negeri Sarawak yang layak!

Raja Petra 2

Untuk saya, kenyataan Raja Petra di TV3 sebenarnya mengembalikan persoalan sebenar - Siapa bunuh Altantuya? - untuk difikirkan rakyat.

Beliau menyebut nama John Pang, Nik Azmi dan Din Merican. Saya kenal Pak Din dan saya tahu melalui tulisan Raja Petra sebelum ini bahawa beliau hanya meminta Pak Din sahkan dengan Dato' Seri Anwar sama ada Leftenan Kolonel yang memberi maklumat itu dikenali atau tidak. Jadi, bagi saya isu Pak Din cukup kecil. Tetapi John Pang dan Nik Azmi disebut khusus berkaitan naratif dan penyediaan Kenyataan Bersumpah.

John Pang dan Nik Azmi wajib menjawab tuduhan Raja Petra tersebut, dan TV3 secara moralnya harus menyiarkan serta polis juga boleh mengambil keterangan. Sekiranya itu tidak berlaku, tahulah kita bahawa ada tangan politik di kedua-dua institusi kerajaan dan swasta itu.

Tentang kenyataan Raja Petra mempertikaikan kepimpinan Dato' Seri Anwar, saya fikir kita semua memiliki pemikiran sendiri tentang mana-mana tokoh. Tidak ada yang akan gemarkan atau boleh bersetuju dengan orang lain 100%. Itulah demokrasi dan bagi saya ia bukan isu pokok yang perlu diberatkan. Serangan berterusan UMNO-BN kepada Dato' Seri Anwar sudah cukup untuk menjelaskan betapa peranan yang dimainkannya bersama PR sangat penting.

4/14/2011

Raja Petra

Saya tidak menonton semasa berita disiarkan. Pada mulanya saya ditegur oleh seorang rakan di Facebook yang bertanya "apa sudah jadi dengan Raja Petra?".

Saya tidak pasti beliau merujuk tentang apa waktu itu. Kemudian saya tahu melalui berita talian bahawa Raja Petra membuat pengakuan yang dirakam TV3 bahawa beliau tidak pernah menuduh Datin Seri Rosmah berada di tempat kejadian. Anehnya, yang digembar-gemburkan di banyak tempat ialah "Datuk Seri Najib tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya". Dalam tulisan beliau menjelaskan penglibatan sejumlah nama lain sebagai sumber maklumat kenyataan bersumpah yang menyatakan penglibatan Datin Seri Rosmah dalam pembunuhan Altantuya.

Saya memang sering risaukan kerosakan institusi di Malaysia. Pendedahan nama-nama seperti Nik Azmi Nik Daud dan John Pang, bahkan turut mengaitkan Tengku Razaleigh serta orang kedua risikan tentera (termasuk dalam satu artikel lain bahawa ada Raja Melayu yang tahu) bukanlah satu perkara kecil. Namun, kita dapat lihat betapa perlahannya tindakan sewajarnya diambil untuk mencari keadilan.

Nyawa telah menjadi satu permainan sedangkan ia adalah satu hal yang suci. Percayalah, andai kata Barisan Nasional tumbang satu hari nanti dan keadilan dituntut sewajarnya, ramai akan memakai hujah "kami adalah mata rantai yang juga takut diapa-apakan". Jika tidak, masakan ramai yang masih berdiam dan selesa berada di baris depan membela kezaliman?

4/11/2011

Taib Mahmud



Jika ada satu perkara yang saya suka tentang Taib Mahmud tentunya kenyataan beliau yang mempertikai kenapa 'Kuala Lumpur' mesti menjadi penentu siapa Ketua Menteri di Sarawak. Itu adalah kenyataan penting terkait dengan nyah-pemusatan kuasa atau desentralisasi. Sambil Taib mungkin lulus dari aspek mempertahankan 'kedaulatan negeri', saya tidak fikir beliau lulus dalam 'ciri demokrat' yang lain. Saya berharap biarlah Taib kekal bertanding tanpa 'Kuala Lumpur' memberi petunjuk bahawa beliau harus 'keluar'. Biarlah rakyat Sarawak yang mengeluarkannya secara terhormat.

4/09/2011

Anggapanmu, aku mungkin hanya seorang pemimpi

Sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak. Saya yakin bahawa pilihan terbaik rakyat di negeri itu ialah memilih perubahan tuntas.

Sarawak, sama seperti Sabah dan Terengganu, adalah negeri yang punya kekayaan hasil bumi. Namun, sayang sekali kerana ketiga-tiga negeri itu sentiasa berada di kalangan negeri-negeri termiskin di Malaysia.

Saya pernah ke Sarawak. Saya fikir rakyat di negara itu cukup tahu bahawa Taib Mahmud telah mengaut kekayaan di negeri itu semahunya. Mereka memang tahu! Tetapi entah kenapa mereka tidak punya kesediaan untuk melakukan perubahan.

Inilah sebenarnya cabaran sebuah negara - kemuliaan insan. Negara harus punya rakyat yang mampu berfikir dan sanggup melakukan perubahan berdasarkan prinsip-prinsip yang boleh dipertahankan.

Ia akan bermula dengan imaginasi. Imaginasi adalah satu ruang bebas dan ruang bebas inilah ibu kepada falsafah.



* Kita tidak mesti bersetuju sepenuhnya dengan perjuangan sesiapa (termasuk Lennon), namun jika kita tidak bersetuju dengan 1-2 perkara, itu tidak semestinya menjadikan kita tidak bersetuju dengan sejumlah perkara lain. Lihatlah pada apa jauh lebih awal dan penting berbanding siapa.

4/08/2011

Kematian di Premis SPRM

Berita ini tentulah menyedihkan. Sebagai sebuah institusi awam, saya fikir kematian ini memberi kesan besar kepada keutuhan institusi negara. Ia menguatkan persoalan awam tentang kematian (mendiang) Teoh Beng Hock sebelum ini, juga ketika hadir menemui SPRM.

Saya terkilan kerana seperti biasa, ada yang cuba menjustifikasikan kematian tersebut sebagai satu tindakan bunuh diri disebabkan bersalah dan tidak tahan diberi tekanan. Bagi saya justifikasi yang cuba diberikan ini adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan memperlecehkan persoalan nyawa, satu elemen suci dalam agama.

Untuk saya, suka atau tidak, SPRM perlu mengambil tanggungjawab penuh atas kematian di premis mereka. Mungkin satu prosedur baru harus dibentuk untuk memastikan mana-mana individu yang didakwa boleh ditemani oleh orang kepercayaan mereka dan sebaik tiba di premis seperti SPRM ini keluarga boleh dimaklumkan pegawai bertugas mana yang menyoal atau mengambil keterangan daripada beliau.

Sambil SPRM tetap perlu menjawab persoalan-persoalan yang muncul daripada kes ini, saya berharap Jabatan Kastam yang dipercayai diselebungi rasuah tetap perlu disiasat sepenuhnya dan diambil tindakan wajar. Jika perlu, hak untuk mana-mana pegawai memberi pengecualian bayaran tertentu itu dikaji semula atau diumumkan kepada pelanggan mereka.

Negara ini memang sangat memerlukan reformasi institusi. Penjawat awam mesti dikeluarkan daripada melihat "kerja sebaik mana pun hujung bulan gaji sebanyak itu juga" dan jika perlu, sistem kerajaan perlu membolehkan pemecatan penjawat awam untuk kes serius sebegini.

Al-Fatihah untuk allahyarham Sarbani.

4/06/2011

Video Seks: Perlakuan Anwar vs Fitnah Politik 2

Kenapa saya lebih yakin akan dakwaan konspirasi politik.

1) Mantan pegawai keselamatan kepada (arwah) Tan Sri Megat Junid mendakwa dihubungi Dato' Eskay di mana isu 'bantuan Dato' Seri Anwar' untuk memberi keterangan di mahkamah berhubung jambatan bengkok diperkatakan. Dalam kenyataan beliau disebut jelas kemudiannya "Dato' Eskay marah-marah dan 'berikrar' untuk jatuhkan Dato' Seri Anwar. Sehingga hari ini Dato' Eskay tidak menjawab dakwaan mahu jatuhkan Dato' Seri Anwar ini. Beliau hanya menjawab bahawa isu ini tidak ada kena mengena dengan komisen beliau dalam kes jambatan bengkok. Saya fikir mereka yang tidak cerdik sahaja gagal melihat hubungan tersebut terutama selepas pengakuan bekas pegawai keselamatan (arwah) Tan Sri Megat Junid itu.

2) Kenyataan berbelit Dato' Eskay dalam hal rakaman. Pertama, beliau cuba menunjukkan dirinya sudah bertaubat dan insaf dengan menceritakan perihal pergi Haji pada tahun 2010. Beria-ia beliau mendakwa penemuan video seks itu adalah 'Petunjuk Allah s.w.t.'. Apa yang beliau lupa dalam keghairahan menunjukan watak berkecuali dan baik ialah pengakuan lain bahawa beliaulah watak yang menyediakan 'pelacur'.

3) Lakonan Dato' Eskay itu juga selari dengan lakonan kononnya beliau terjumpa rakaman video tersebut dan terkejut selepas menontonnya. Teliti betul-betul pengakuan beliau yang menyediakan pelacur (bahkan menurutnya banyak kali) kemudian terkejut kerana mengetahui kejadian tersebut. Untuk menambahkan elemen tidak sengaja terjumpa, beliau berkisah tentang jumpa wayar dan pecahkan laci meja solek.

Nantikan siri akan datang...

Pilihan Raya Negeri Sarawak

Hari ini penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak. 71 kerusi akan dipertandingan dengan hampir 1 juta pemilih akan membuang undi pada 16 April nanti.

Sebelum ini BN telah memenangi 62 daripada kerusi yang dipertandingkan sementara selebihnya dimenangi oleh DAP (6 kerusi), SNAP, PKR dan BEBAS masing-masing 1 kerusi. PAS yang bertanding hanya di 1 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun 2006 tidak memenangi sebarang kerusi.

Jika sebelum ini SNAP bertanding 29 kerusi, PKR 25 kerusi, DAP 13 kerusi dan BEBAS 3 kerusi; kelihatan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ini lebih didominasi PKR berbanding parti-parti lawan kepada BN. Saya tidak tahu apakah asas kepada keputusan ini namun saya berkeyakinan bahawa pertandingan 1 lawan 1 akan memberi lebih peluang kepada parti-parti yang melawan BN.

Di Sarawak, UMNO tidak ada tetapi 'UMNO' di Sarawak ialah PBB yang dipimpin oleh 'Maharaja' Taib Mahmud. Saya fikir di Sarawak semua sedar betapa berkuasanya Taib Mahmud namun keberanian membuat pilihan menggantikannya atau lebih besar lagi menyingkirkan BN daripada kekuasaan bukanlah pilihan mudah.

Sekiranya dalam Pilihan Raya Negeri kali ini akan menyaksikan hilangnya majoriti 2/3 BN di Dewan Undangan Negeri Sarawak, saya menjangkakan politik Malaysia akan menjadi lebih kasar dan bertenaga.

4/05/2011

Video Seks: Perlakuan Anwar vs Fitnah Politik

Saya ada banyak sebab untuk tidak mempercayai tuduhan yang saya kelaskan sebagai fitnah politik terhadap Anwar Ibrahim - kononnya beliaulah watak di dalam video seks yang ditunjukkan oleh Dato' T - trio Eskay, Rahim Thambi Chik dan Shuib Lazim.

Tetapi saya tidak berhajat menulis panjang kerana apabila ianya fitnah politik, ia bermaksud sebagaimana dijelaskan oleh Raja Petra, seperti permainan kad. Bezanya, dalam politik kita tidak tahu berapa banyak kad yang dimiliki oleh seteru kita. Jika dalam permainan kad jelas peraturan dan batasan jumlah kad yang ada, dalam politik kad-kad baru boleh sentiasa diadakan! Itulah bezanya yang menjadikan politik itu jauh lebih sukar difahami.

Saya fikir pendirian saya jelas dalam isu yang dibawa. Saya tegaskan bahawa ianya fitnah politik dan bukan perlakuan Anwar sebagaimana didakwa. Namun, saya seorang yang percaya proses hukum boleh dan sepatutnya berjalan. Proses hukum maksudnya proses undang-undang. Undang-undang tentulah bertujuan mencapai keadilan. Pencapaian ini bukan sahaja pada akhirnya tetapi juga dalam prosesnya.

Baiklah. Apa prosesnya di peringkat ini?

Pertama, beban pembuktian tuduhan ada pada Dato' T dan bukannya Anwar. Hanya di negara yang hukumnya sakit sahaja si penuduh boleh wewenang menuduh dan yang tertuduh mesti sedaya upaya membuktikan dirinya tidak seperti yang didakwa. Dalam maksud yang mudah, kita memahami bahawa proses hukum mesti berlandaskan prinsip "seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah" dan bukannya "seseorang itu bersalah selagi tidak dibuktikan tidak bersalah".

Kelihatan trio Dato' T ini bersungguh benar mengambil dataran moral yang tinggi. Justeru, moral hukum yang perlu didepankan ialah menjelaskan pertuduhan dengan terperinci. Perincian asas untuk kes ini ialah:
  1. Pelaku-pelaku yang didakwa terlibat.
  2. Di mana ia berlaku.
  3. Masa ia berlaku.
  4. Bukti yang ada.
  5. Bagaimana ia ditemukan.
  6. Proses pengesahan bukti.
Saya fikir ini soalan-soalan asas yang penting untuk diketahui. Memang banyak soalan-soalan lain yang boleh membantu perjalanan kes (untuk penghakiman awam atau proses undang-undang).

Kita tahu Dato' T (dan mereka yang galak membuat pertuduhan sahih mengatakan Anwar) ada memberi bayangan kepada soalan-soalan asas ini.
  • Katanya Anwar adalah watak di dalam video itu. Dato' Eskay mengatakan beliau juga ada dalam video tersebut. Saya tidak mengatakan beliau adalah pelakon sebenar, barangkali beliau adalah watak yang ketiga - berpakaian kemas. Siapa wanita tersebut? Yang disebut hanya pelacur. Kita harap wanita itu akan dapat dibawa ke tengah memandangkan Dato' Eskay memberi bayangan bahawa beliau terlibat dalam konteks menyediakan wanita tersebut, bahkan mendapatkan semula jam tangan Omega yang didakwa diambil oleh wanita tersebut.
  • Persoalan tempat nampaknya cukup samar. Ini mengingatkan saya akan Tivolli Villa pada pertuduhan 1998-1999. Strategi tidak mendedahkan di mana lokasi kejadian ini adalah satu taktik membeli masa permainan. Di sini paling kuat menonjolkan bahawa ianya adalah 'political game' terutama apabila Dato' Eskay tidak berminat mendedahkan nama tempat kejadian dalam video tersebut sebaliknya menyoal Anwar akan kekerapan ke Thailand berserta sejumlah pertanyaan lain. Jika beliau benar berada dalam posisi mengetahuinya, kenapa perlu tanya kepada Anwar?
  • Soalan terakhir dalam penerangan kedua itu membawa kepada isu masa. Jika kita lihat pada video tersebut tertulis “Phaholyothin Road Bangkok, Thailand 10400, Copyright 2011”. Ia membayangkan bahawa kejadian dalam video tersebut berlaku di Thailand, bukan di Kuala Lumpur. Jika tempat kejadian ini dipadankan dengan tarikh dan waktu kegiatan Anwar, jelas ia bercanggah. Rakaman tertera tarikh 21 Februari 2011, sehari selepas hari lahir saya - antara jam 10.20 malam hingga 10.43 malam berdasarkan masa yang tertera dalam video berkenaan (sebagaimana dinyatakan oleh mereka yang menontonnya).
  • Bukti yang cuba dibawa ialah rakaman dan jam tangan Omega (dan sms Anwar sebagaimana didakwa oleh Dato' Eskay). Tentang sms saya tidak tahu apa kandungannya tetapi saya berfikiran bahawa jika saya berada di posisi Anwar dan dimaklumkan seorang kenalan menyerang saya secara terbuka, saya mungkin akan bertanya akan kebenaran ini. Tentang jam tangan Omega, saya tidak maklum akan jam tangan yang dipakai oleh Anwar, jadi biarlah hal ini diputuskan kemudian kerana jika memang ia dipakai oleh Anwar maka elok juga dijelaskan kedudukannya. Bukti yang tidak boleh bercakap ini ada gunanya meskipun tahap kepercayaan terhadapnya tidak tinggi memandangkan ia boleh dialih dan dicipta (curi atau beli baru dan dakwa ia milik seseorang). Tentang rakaman, bukan sahaja soal ketulenan, tetapi yang menjadi isu di sini ialah watak di dalamnya. Setakat pemerhatian saya terhadap sebahagian yang didedahkan, ia kabur meskipun ada iras wajah tetapi dari bahasa dan struktur tubuh, saya tidak fikir itu adalah Anwar. Dalam hal ini, kehadiran wanita yang dikatakan watak dalam video tersebut boleh membantu proses pembuktian.
  • Saya telah tulis kecurigaan saya tentang bagaimana Dato' Eskay menemukan rakaman tersebut. Pada mulanya beliau kata 'pecahkan laci' - seolah-olah kejutan. Kemudian beliau kata beliau tahu. Taktik mengubah gawang gol begini hanyalah kerja orang yang tidak ada ketetapan dan cuba membeli masa bagi membolehkan rekayasa naratif cerita digarap lebih baik.
  • Kini, proses membuktikan watak dalam video tersebut adalah Anwar bukan ada pada Anwar tetapi ada pada si penuduh. Dato' Shuib juga perlu menjelaskan sama ada benar beliau ada mengakui ketidakyakinan beliau tentang watak Anwar dalam video tersebut ketika bersama YB Dato' Johari Abdul. Ini penting kerana pendirian yang berbeza ini boleh berlaku disebabkan 'mata rantai kezaliman' disebabkan takut kepada pihak lain yang boleh memberi kesan kepada nyawa atau penghidupan beliau.
  • Dato' Eskay perlu menjawab tegas dan jelas kenyataan akhbar bekas pegawai keselamatan Tan Sri Megat Junid (arwah) yang mengatakan beliau ada 'berikrar' untuk menjatuhkan Anwar beberapa waktu sebelum kisah rakaman video seks ini keluar. Sekiranya benar, polis tidak wajar berdiam diri daripada melihat perkaitannya dengan siasatan memandangkan ada justifikasi kaitan yang ketara di sana. Soal menjatuhkan seseorang boleh pergi sejauh 'menghilangkan nyawanya'. Maka, fitnah politik dengan tuduhan moral ini bukanlah mustahil bahkan terbukti dalam perjalanan sejarah. Lebih menarik ialah bekas pegawai keselamatan Tan Sri Megat Junid (arwah tersebut) mengaku punya beberapa orang lain yang menjadi saksi mata dan telinga di samping kedudukan beliau yang boleh disifatkan neutral - dalam pengertian pernah berkhidmat dengan 'musuh politik' Anwar.
InsyaAllah, saya akan menulis lanjut tentang isu ini jika berkelapangan nanti.

4/04/2011

Anwar Ibrahim

Ada satu perkara yang saya hormat akan Anwar Ibrahim. Usia beliau kini sudah melangkau 60-an. Saya tidak tahu apa yang kita sebagai rakyat biasa fikirkan tika menjelang usia begitu. Ramainya mungkin lebih senang menghabiskan masa di rumah membaca surat khabar, menonton TV, membaca 2-3 buku atau majalah, berkebun kecil-kecilan dan sebagainya.

Tidak untuk dia. Saya teringat sekali Nik Nazmi pernah berkisah tentang cerita Anwar. Kata Anwar kepadanya, "dulu semasa saya seusia kamu, saya boleh berceramah sehingga 7 kali dalam sehari."

Anwar membayangkan bahawa beliau kini semakin berusia dan tidak lagi tangguh untuk seaktif zaman mudanya. Pada hemat beliau, yang muda-lah harus bangun menyatakan sikap tegas dan jelas menentang kebobrokan penguasa.

Itu mungkin beberapa tahun lalu. Kini, dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak, saya dapat melihat kesungguhan beliau kembali. Jadual ceramahnya sahaja sudah jelas menunjukkan bahawa beliau kini berada di 'gear kelima' untuk menghumban Barisan Nasional ke jurang yang dalam.

Saya menjangkakan kekerasan politik akan muncul di Malaysia, sebagaimana lazimnya para penguasa yang kehabisan sumber mempertahankan keabsahan kuasa mereka. Semoga jangkaan saya ini meleset sebanyak-banyaknya kerana saya seorang yang kuat mempercayai peralihan secara demokrasi. Jika tidak, sebagaimana pernah saya ungkap kepada seorang senior sekitar tahun 2000-2001 "aku percaya diktator memang lazimnya ditumbangkan dengan kuasa jalan raya."

Ceramah Terbuka

Berita menyatakan beberapa siri ceramah Dato' Seri Anwar kini sering diganggu polis. Alasan mudah ialah tiada permit atau permitnya diluluskan untuk tujuan berbeza.

Sebenarnya, saya tidak fikir tanggungjawab memberi kelulusan ceramah terbuka ini patut ditentukan oleh polis. Pihak polis sepatutnya hanya perlu dimaklumkan tentang sesuatu ceramah terbuka yang melibatkan perhimpunan ramai dan bukannya menjadi pemberi kata putus sama ada ia boleh atau tidak dijalankan.

Sudah tentu ada kemungkinan tempat yang dipilih tidak sesuai untuk tujuan berkenaan dalam kes kehadiran yang melimpah dan sebagainya. Itu tidak menjadi masalah kerana peranan polis dalam kes tersebut ialah mencadangkan tempat mana yang sesuai.

Dalam hal keselamatan, pihak polis juga boleh menghantar sejumlah wakil untuk tujuan memantau sahaja (dan mengambil tindakan tertentu jika sabit kesnya jelas). Pihak polis boleh meminta penganjur sendiri menyediakan satu plan keselamatan sendiri termasuk dalam hal kesesakan seperti parkir dan sebagainya.

Rayakan kebebasan dengan kedaulatan hukum yang adil.

4/02/2011

Along

Saya ingin selalu mengingatkan diri saya dan anda semua untuk jangan sekali-kali berfikiran singkat meminjam daripada Along atau pinjaman berlesen yang tidak berdaftar di bawah Kementerian Kewangan.

Pesanan saya lebih khusus ialah kepada umat Islam yang tersepit dalam realiti hidup semasa. Saya faham situasi yang mendesak dan saya tahu tidak ramai pendakwah yang tampil ke depan memberi bantuan berbanding mengambil sikap mudah menyalahkan. Paling ramai tentu saja yang boleh mendengar dan memberikan bantuan minima. Saya juga mungkin adalah sebahagian daripada kelompok ini.

Namun, saya ingin ingatkan rakan muslim bahawa Islam mewajibkan zakat dan dalam konteks Malaysia kita punya institusi zakat yang boleh menimbang keperluan yang sesuai. Jika sekalipun kita bermasalah, rujuklah terlebih dahulu kepada pimpinan masyarakat setempat dan biarlah rujukan itu banyak serta janganlah berpuas hati dengan satu rujukan yang mungkin tidak bersifat membantu.

Sejak beberapa waktu ini saya semakin memahami riba, yang saya sifatkan sebagai sesuatu yang melampaui harga pasaran.

4/01/2011

Video Seks

Saya menyampah dengan soalan-soalan Dato' Eskay sebab soalan-soalan dia hanya menjelaskan lagi motif politik di sebalik kisah video seks yang dia dakwa adalah video Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Dia tidak berminat sejak mulanya untuk menyatakan secara pasti di mana rakaman tersebut dibuat. Dia juga menawarkan pelbagai cerita yang kelihatan wujud beberapa percanggahan. Dah beberapa hari berlalu gua tak dengar juga dia jawab tuduhan serius oleh bekas pegawai keselamatan Tan Sri Megat Junid yang dedahkan dia maju jatuhkan Dato' Seri Anwar.

Mengikut bacaan politik, apa yang dibuat oleh Dato' Eskay ini boleh difahami sebagai satu tindakan 'membeli masa'.

Tolong jangan beritahu saya UMNO-BN sangat baik terhadap Dato' Seri Anwar sebab tu mereka tidak tergamak dedahkan atau bocorkan video tersebut kepada orang awam. Sejak Dato' Seri Anwar dipecat, jutaan rakyat Malaysia dan dunia cukup tahu akan kesungguhan UMNO-BN menjatuhkan beliau dengan pelbagai tindakan.

Saya hanya nak ingatkan UMNO-BN bahawa "dunia ini sederhana kecil".