5/31/2011

Pengalaman bertabligh 2

Selepas mendengar seorang karkun daripada jemaah yang berkunjung ke bilik saya itu, saya melakukan aktiviti biasa - makan dan mandi - sebelum ke surau.

Malam itu usai maghrib ada Bayan. Bayan ini maksudnya ialah penerangan maksud agama. Saya menganggap ia tidak lebih daripada sesi tazkirah dengan nama lain, mungkin sebagai identiti jemaah.

Di surau kolej kami pada mulanya tidak ada jadual kuliah khusus. Kadangkala memang ada senior berlatar-belakangkan pengajian Islam datang memberikan tazkirah. Mereka ini kebanyakannya ialah penggerak Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di kampus. Oleh kerana tidak ada jadual kuliah khusus di situ, maka sesiapa yang ingin memberi tazkirah, atau bayan yang dilakukan oleh jemaah tabligh boleh dibuat tanpa halangan.

Saya fikir bayan yang diberikan agak menarik. Ia senang difahami dan disampaikan dengan bahasa yang mendorong.

Usai bayan, saya dapat melihat semua jemaah tabligh yang ada, termasuk rakan tabligh di dormitori saya dan di dormitori sebelah yang berada di surau itu mengangkat tangan ketika ditanya kesediaan mereka melapangkan masa untuk menjalankan kegiatan tabligh. Saya tidak mengangkat tangan meskipun rakan-rakan saya tadi serta anggota jemaah tabligh yang ada mengajak saya.

Sementara menunggu sela masa sebelum masuk waktu Isyak, saya berkenalan dengan beberapa anggota jemaah tabligh yang berada di surau itu. Saya fikir mereka ramah dan baik. Selain daripada memperkenalkan diri dan bercerita tentang pengalaman awal di dunia kampus, mereka sentiasa mengambil peluang menekankan bahawa Allah s.w.t. adalah segala-galanya dalam hidup manusia dan Islam sebagai agama adalah jalan yang ditunjukkan Allah s.w.t.. kepada Rasulullah s.a.w. untuk dijadikan ikutan manusia.

Saya tidak ada perbezaan pendapat dengan mereka malah sangat bersetuju dengan kenyataan tersebut. Cuma, kerana melihat diri tidak mempunyai banyak pengetahuan agama, saya lebih banyak diam dan seringkali senyum mendengar mereka berkongsi kisah...

5/30/2011

Naik turun ekonomi

Saya bimbang dengan wacana yang muncul dalam isu ekonomi di Malaysia. Ramai yang bercakap tentang 'kenaikan' harga di permukaan. Sebelum ini, ketika saya bercakap di beberapa universiti, saya menyatakan bahawa isu sebenarnya ialah kuasa beli, bukan harga tinggi.

Harga tinggi boleh jadi satu isu jika ia memang berpunca daripada campur tangan kerajaan yang menghalalkan monopoli atau kartel. Jika harga tinggi itu tepat dengan harga pasaran, maka ia sebenarnya adalah harga yang adil. Jika tidak, adalah penting untuk rakyat diajak bersama memahami persoalan kuasa beli supaya jika berlaku pertukaran kerajaan, agenda meningkatkan produktiviti itu juga jelas.

Pengalaman bertabligh 1

Lama saya tidak menulis tentang pengalaman bertabligh. Eloklah saya mulakan dulu dengan kisah awal mengenali Jemaah Tabligh.

Sebenarnya 2 orang dari rakan dormitori saya ialah karkun (istilah untuk pendakwah tabligh). Tapi mereka berusia lebih tua daripada saya. Seorang lagi yang sebaya duduk di dormitori sebelah.

Itu pada hari-hari awal di kampus sebelum kemudiannya hampir semua di dormitori saya dan sebahagian daripada dormitori sebelah pernah keluar bertabligh.

Ketika di kampus, saya memang sering bersolat di surau kolej. Saya dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Surau sejak tahun pertama sebagai latihan untuk memimpin. Sebagaimana lazimnya, saya suka menawarkan diri untuk mengalunkan azan. Sesekali memang saya menjadi imam. Saya tidak menghafal banyak ayat-ayat al-Quran sebagaimana rakan-rakan yang berlatar-belakangkan sekolah agama. Namun, rakan-rakan saya yang berlatar-belakangkan sekolah agama nampak tidak begitu berminat menjadi Jawatankuasa Surau.

Kali pertama Jemaah Tabligh berkunjung ke bilik saya ialah petang selepas Asar. Waktu itu jam sudah menunjukkan sekitar pukul 6 atau 6.30. Saya memang mendisiplinkan diri untuk berhenti beriadah pada waktu itu supaya sempat kering peluh, dapat makan dan dapat bersiap untuk solat maghrib berjemaah di surau. Saya mengamalkan makan pada lewat petang supaya selepas Isyak saya lebih selesa belajar dan hanya perlu makan roti kering cicah kopi.

Selepas selesai bermain sepak takraw, dan kali itu kaki saya terseliuh kerana salah mendarat selepas membuat satu lipatan, saya naik ke dormitori. Ada wakil jemaah telah mula bercakap dan saya menghormati tetamu dengan ikut sama mendengar. Ia tidak lama, sekitar 5 minit. Memang lazimnya dalam kunjungan dari bilik ke bilik itu, jemaah akan meminta masa 5 minit untuk mereka bercakap tentang kebesaran Allah s.w.t. dan pesan-pesan agama.

Itulah rahsia di sebalik Minta Masa 5 Minit yang menjadi nama blog ini.

5/29/2011

Biasiswa

Sebenarnya banyak yang mahu saya katakan tentang isu biasiswa ini. Ternampak debat yang berlangsung masih terbatas meskipun saya tidak menafikan ia mempunyai meritnya tersendiri. Ia memberi ilham untuk saya berusaha menyiapkan sebuah buku yang membicarakan isu pendidikan secara tuntas.

Aduhai, banyak juga mahu saya tulis sementara masih muda ini. Saya harap paling tidak ia dapat disiapkan, sekurang-kurangnya akan datang orang boleh membaca pergelutan zaman ini.

Parlimen Belia

Saya sukakan idea Parlimen Belia yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya petang kelmarin. Saya yakin kumpulan pemikir beliau telah berjaya meyakinkan keperluan idea ini diketengahkan.

Namun, saya juga berpandangan bahawa ianya masih satu lontaran politik hampa semata kerana realiti AUKU di universiti sudah cukup untuk menggambarkan ironinya.

5/28/2011

Somos los campeones


Menantikan pertemuan Barcelon dan Manchester United dalam perlawanan akhir malam ini. Saya menjangkakan Barcelona 3 Manchester United 1.

5/27/2011

Reformasi dari luar...

Saya yakin, lambat laun ramai yang percaya bahawa reformasi, pada tingkat terbaiknya datang dari luar. Luar di sini maksudnya ialah masyarakat sivil.

Pendokong Syiah ditahan

Saya fikir, di kalangan para sahabat Nabi s.a.w., saya lebih sukakan Saidina Ali k.w.. Puncanya ialah kerana Nabi s.a.w. sering mengaitkan beliau dengan persoalan ilmu pengetahuan.

Mereka yang berfahaman Syiah juga kuat mengagungkan Saidina Ali k.w.. Bagi mereka yang berfahaman Syiah, Saidina Ali k.w. sebenarnya ialah khalifah selepas kewafatan Baginda s.a.w..

Saya tidak berada dalam posisi untuk menghakimi kenyataan mereka meskipun mungkin kami mempunyai sedikit persamaan dalam hal menyukai Saidina Ali k.w.. Saya juga tidak pernah menganggap diri seorang Syiah. Bahkan, jika ada rakan saya yang berfahaman Syiah, termasuk seorang wanita yang selalu ikut saya mendaki gunung dulu, saya bersikap bebas dan terbuka dengannya.

Ada rakan mengatakan bahawa lita'arafu atau proses kenal itu tidak mencakupi persoalan beza agama. Saya tidak ada masalah dengan kenyataan itu. Untuk saya, kita sendiri yang perlu belajar memilih untuk menentukan hidup bermasyarakat yang mana baik kepada semua.

Saya menulis masukan ini di bawah kata kunci Negara.


Terjemahan Ketiga

Alhamdulillah. Minggu lepas saya telah menyelesaikan terjemahan ketiga yang dibuat sejak awal tahun lalu.

Terjemahan pertama, "What is Seen and What is Not Seen" karya Bastiat yang sebelum ini disiarkan di Akademi Merdeka. Saya difahamkan oleh Wan Saiful, Pengarah Eksekutif IDEAS bahawa ia akan dicetak akan datang.

Terjemahan kedua, buku "Road to Reform", himpunan tulisan pengamat kenegaraan yang telah berada di pasaran dengan tajuk "Liku-Liku Reformasi".

Terjemahan ketiga, buku "Social Roots of the Malay Left" karya Rustam Sani yang akan diterbitkan nanti dengan tajuk "Akar Sosial Golongan Kiri Melayu".

Syukur. Saya kini cuba menetapkan untuk penghasilan sekurang-kurangnya 2 karya setahun.

5/26/2011

Diri dan Kebenaran

Di mana letaknya kebenaran?

Saya selalu percaya bahawa kebenaran itu wujud sebagai entitinya tersendiri. Bagi sesetengah pihak, mereka percaya kebenaran itu ada pada 'individu-kumpulan' tertentu.

Saya tidak berfikir seperti itu kerana percaya jika benar sekalipun ungkapan saya, ia tidak menjadikan diri saya seorang yang benar. Mungkin lebih tepat ialah saya hanya menjadi pembenar kebenaran itu.

Keadilan dan Kebenaran

Di mana-mana
Sepanjang zaman
Akan ada mereka yang mengambil risiko di baris depan
Memperjuangkan keadilan dan kebenaran

Namun belum tentu ramai
Yang sedia membuka diri
Mencari makna keadilan dan kebenaran yang diperjuangkan

Bagaimana melaksanakannya?
Apakah cabaran dan rintangan yang ada?
Di mana mahu dimulakannya dengan segala itu?

Yang kita minat ialah mendakwa diri memperjuangkan keadilan dan kebenaran
Dan tidak mungkin apa juga yang muncul itu menafikan perjuangan kita
Bahawa kitalah yang paling adil dan benar...

5/25/2011

Hidup yang statik

Hidup yang statik
Seperti air bertakung
Lama kelamaan ia membusuk
Dan tidak berguna

Jagalah hidupmu
Kerana ia bisa menjadi seperti air yang bertakung

5/24/2011

Kecil dan berkesan

Saya setuju jika kerajaan persekutuan bekukan pengambilan kakitangan awam. Pada masa yang sama, kerajaan persekutuan juga perlu memudahkan urusan perniagaan supaya mereka yang tidak bekerja sebagai penjawat awam lebih mudah berniaga.

Kita memerlukan sebuah kerajaan yang kecil dan berkesan. Jumlah kakitangan awam yang mencecah 10% tenaga kerja di Malaysia (tidak termasuk GLC dan badan berkanun) adalah satu jumlah yang besar dan tidak sihat untuk ekonomi.

Bakat Malaysia

Saya fikir tidak ada keperluan untuk Malaysia berbelanja untuk menarik bakat negara yang keluar. Untuk saya, keluar dan masuk itu adalah pilihan.

Persoalan menarik bakat negara yang tidak mahu pulang ini harus dijawab dengan memberi fokus kepada menambah-baik bakat keluaran tempatan. Menambah-baik ini juga harus dibahaskan secara terbuka untuk mengetahui punca dan bagaimana untuk menanganinya.

Untuk mereka yang tidak pulang dan tidak menunaikan perjanjian biasiswa/pinjaman mereka, caj bayaran balik tidak harus terhad kepada jumlah pinjaman penuh sahaja tetapi mengambil kira kos tempoh masa yang digunakan untuk menghantar mereka ke luar negara. Jika biasiswa/pinjaman mereka bernilai RM500 ribu untuk tiga tahun, maka bayaran balik boleh mencecah RM1 juta kerana negara perlu melatih semula bakat baru untuk menggantikan mereka yang tidak berkhidmat dengan kontrak mereka itu. Tiga tahun negara telah rugi kerana sikap mereka itu.

BERSIH 2

Baca tulisan saya untuk memahami kenapa tuntutan ini sangat penting dalam erti hidup bernegara.

Penulis

Saya sedang menghabiskan novel dwilogi, Padang Bulan dan Cinta di Dalam Gelas yang ditulis oleh novelis Andrea Hirata. Beliau sebelum ini dikenali dengan novel tetraloginya, Laskar Pelangi, Sang Pemimpin, Edensor dan Maryamah Karpov - semuanya saya dapatkan semasa berada di Jakarta dulu.

Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi telah difilemkan. Saya fikir ia adalah filem wajib tonton kepada anak muda. Indonesia, setakat yang saya kenali, selalu memberi jiwa kepada sebuah kehidupan.

5/20/2011

Utusan dan PERKASA

Orang putih kata "burung dari bulu yang sama akan terbang bersama". Orang Melayu kata "enggang sama enggang, pipit sama pipit".

5/18/2011

PEMBELA atau PEMBULI?

Saya membaca kenyataan jurucakap PEMBELA. Saya terkejut dengan kenyataan beliau: Bagi masyarakat mereka, buku pornografi pun boleh dijual secara terbuka!

Hujah yang dibawakan oleh saudara Yusri tidak banyak berbeza dengan apa yang dilontarkannya semasa kami berforum dulu. Apa yang pasti, saya sekali lagi menolak sikap wewenang beliau mengatakan sesuatu tentang agama Kristian dengan cara yang menyimpang dan pada masa yang sama menjadi juara kononnya mewakili suara umat Islam di Malaysia. Mungkin beliau lupa bahawa pihak gereja telah mengeluarkan kenyataan tegas dan jelas tentang isu video seks misalnya tetapi kita langsung tidak mendengar suara majlis mufti atau institusi kerajaan yang sah.

Anwar Dalam Bicara 2

Sebaik diarah membela diri, maklum balas awal Dato’ Seri Anwar yang menyatakan beliau telah menjangka keputusan tersebut namun terkejut dengan penghujahan hakim yang melangkau prima facie mempunyai pengertian besar dalam proses perundangan negara.

Mengikut istilah perundangan, prima facie bermaksud pertuduhan yang dibuat mempunyai asas, kecuali disanggah dengan bukti yang lebih meyakinkan.

Dalam prosiding perundangan, beban bukti adalah terletak di pihak pendakwa yang mewakili penuduh di mana mereka perlu menunjukkan bukti prima facie untuk semua fakta penting dalam kes. Jika mereka gagal berbuat demikian, kes tersebut boleh dibuang tanpa dibicarakan. Secara mudahnya prima facie juga disebut sebagai mengadakan kes. Bagaimanapun, prima facie bukanlah penentu bahawa sesuatu kes itu sabit atau tidak sabit kerana pihak yang tertuduh mempunyai hak membela diri dan itu akan dilakukan melalui satu perbicaraan penuh, kecuali pihak yang tertuduh membuat pengakuan bersalah.

Mudahnya, prima facie menegaskan bahawa wujud persoalan yang boleh menyabitkan pertuduhan kes di mana yang tertuduh perlu menjawabnya.

Di peringkat menunjukkan adanya prima facie, hujah sangkalan daripada pihak yang tertuduh melalui peguambelanya tidak dimasukkan dalam perhitungan keputusan tetapi akan dibawa semasa perbicaraan penuh. Di pihak pendakwa, mereka hanya perlu menunjukkan mangsa sememangnya diliwat, ia berpunca daripada perlakuan yang tertuduh dan ianya bersifat paksaan.

Sebenarnya, dalam perundangan negara, kes liwat boleh didakwa dalam konteks paksaan dan sukarela. Namun, pertuduhan yang dibuat kepada Dato’ Seri Anwar jelas menyatakan ‘tanpa kerelaan’ atau dalam pengertian lain, dipaksa. Tujuan pembuktian prima facie adalah untuk mengelakkan tuduhan palsu yang akan membazirkan masa semua pihak.

Justeru, pertikaian Dato’ Seri Anwar terhadap kenyataan melangkaui prima facie oleh Hakim Dato’ Mohd Zabidin – bahawa Mohd Saiful Bukhari sebagai saksi yang benar dan berwibawa – sebagai justifikasi untuk memanggil beliau membela diri mempunyai asas.

Kenapa Ibrahim Ali mahu dan layak berjahat?

Hari ini Tok Nazri menyatakan bahawa kerajaan tidak mahu membuat pendakwaan terpilih. Justeru, kerajaan tidak akan mengambil tindakan kepada Ibrahim Ali dengan alasan ia telah menjadi norma masyarakat pada hari ini dan masyarakat mesti belajar hidup dengan matang bagi menangani watak seperti Ibrahim Ali itu.

Dengan kekebalan yang ada pada Ibrahim Ali, tahulah kita kenapa beliau mahu dan layak berjahat!

5/17/2011

Subsidi macam candu

Saya tidak pasti bagaimana Perdana Menteri, Dato' Seri Najib terfikir untuk mengeluarkan kata "subsidi seperti candu". Saya fikir mungkin beliau cuba menggunakan istilah yang sama sebagaimana Karl Marx mengatakan "agama adalah candu kepada masyarakat". Candu dalam kedua-dua konteks tersebut difahami saya sebagai satu perkara yang melalaikan atau membuatkan manusia ketagih, meskipun sebenarnya ia merosakkan. Cuma, saya yakin jika Karl Marx masih hidup, beliau pasti terkejut dengan kenyataan Dato' Seri Najib!

Anwar Dalam Bicara

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah telah memutuskan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu membela diri dalam pertuduhan liwat yang dibuat oleh bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008.

Sehingga tulisan ini dibuat, laporan polis yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari tersebut tidak pernah dikemukakan di mahkamah meskipun peguambela Dato’ Seri Anwar ada membuat permohonan. Bagaimanapun, sebaran di internet mamaparkan bahawa laporan polis bernombor 4350/08 Balai Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur dengan kenyataan:
Saya Mohd Saiful Bukhari bin Azlan ingin melaporkan bahawa saya telah diliwat oleh majikan saya. Perkara ini berlaku tanpa kerelaan saya. Kejadian terakhir berlaku 26/6/08 di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jln Setia Kasih, KL. Oleh itu, tujuan laporan ini dibuat untuk mendapat pembelaan dan keadilan keatas diri saya. Saya juga berasa bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga saya jika perkara ini tersebar luas di khalayak ramai. Majikan saya Dato Seri Anwar Ibrahim – Ketua Umum PKR.
Sejak mula, Dato’ Seri Anwar telah berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak bersalah dan tuduhan tersebut adalah satu usaha untuk menyekat kemaraan beliau dalam politik selepas disingkirkan daripada kerajaan pada tahun 1998.

5/16/2011

Justifikasi perkauman

Pernah ada anak muda yang bermatian memanjangkan hujah-hujah bersifat perkauman. Untuk menjustifikasikannya, dia mengatakan "keperihatinan saya ini mewakili perasaan segmen yang agak besar dalam masyarakat di Malaysia".

Saya akui, memang mungkin dia mewakili segmen yang tidak kecil dalam masyarakat di Malaysia. Namun, apa yang dia harus sedar ialah, tidak semestinya perasaan segmen yang agak besar itu benar dan menjustifikasikan perlunya dia ikut sama dalam arus yang songsang itu.

Anwar diarah bela diri

Saya tidak meletak harapan besar untuk melihat mahkamah di Malaysia bebas. Saya yakin bahawa mahkamah mungkin membebaskan Dato' Seri Anwar akhirnya, namun, proses panjang akan diambil untuk melengahkan dan menyibukkan Dato' Seri Anwar daripada memberi perhatian lebih besar untuk memperjuangkan masa depan Malaysia yang lebih baik.

Memang, harapan bahawa Dato' Seri Anwar akan dibebaskan pada akhirnya itu juga boleh jadi nampak cetek mengambil kira keghairahan UMNO-BN menjatuhkan Anwar. Namun, ada bacaan lain yang mungkin tidak jelas, tetapi tidak beerti harus dibiarkan tanpa perhatian.

5/15/2011

Ibrahim Ali

Dulu Jose Rizal pernah menulis "bermaharajalelanya keserakahan". Jika beliau masih hidup dan berada di Malaysia, mungkin tulisannya diberi tajuk "bermaharajalelanya kebodohan".

Belia

15 Mei telah diisytiharkan sebagai Hari Belia di Malaysia. Sejauh mana belia dihormati sewajarnya dalam proses kenegaraan di Malaysia masih tinggal tanda tanya meskipun ramai yang mula menyedari bahawa kuasa undi saluran 3 iaitu saluran anak muda itu mula menunjukkan satu penegasan kepada proses kenegaraan.

5/14/2011

Mengkristiankan Malaysia 2

Saya masih ingat, selepas tamat forum isu nama Allah s.w.t. yang dianjurkan oleh Free Public Forum (FPF) dulu, seorang pemuda beragama Kristian menyatakan secara serius kepada saya:
"Sekarang kamu boleh tengok bagaimana wewenangnya seorang muslim memperkatakan sesuatu tentang Kristian. Bayangkan jika kami orang Kristian mengatakan sesuatu tentang agama Islam?"
Saya fikir kenyataan beliau itu mempunyai makna yang cukup dalam untuk dijadikan bahan fikir umat Islam pada hari ini.

5/12/2011

Mengkristiankan Malaysia?

Sudah beberapa hari, saya masih memikirkan 'kejahatan' sebilangan bloggers yang cuba menyimbah sentimen agama dalam isu mengkristiankan Malaysia. Apa yang saya fikirkan ialah bagaimana seorang Ahli Parlimen berfahaman Buddha dituduh menjadi penggerak agenda mengkristiankan Malaysia ini.

5/11/2011

UMNO (Baru) sambut ulang tahun?



Generasi muda pada hari ini dan akan datang wajib tahu tentang sejarah penubuhan dan pengharaman UMNO.

5/08/2011

Ibu

Selamat hari ibu kepada para ibu dan bakal ibu.



Petikan Filem Ibu (1953)
Lagu : Ahmad Jaffar

Ibu, ibu
Engkaulah ratu hatiku
Bila ku berduka
Engkau hiburkan selalu

Ibu, ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempat menyatakan kasih
Wahai ibu

Betapa tidak hanya engkaulah
Yang menyinari hidupku
Sepanjang masa engkau berkorban
Tidak putusnya bagai air lalu

Ibu, ibu Engkaulah ratu hatiku
Tempatku menyerahkan kasih
Wahai ibu

Undi Popular

PAP, sama seperti kes di Malaysia, menang 81 daripada 87 kerusi, tetapi jumlah undi popular hanya dapat 60.14%. Jika kita memikirkan politik kenegaraan lebih besar berbanding politik kepartian, saya fikir ada asas untuk mengadakan reformasi dalam sistem Pilihan Raya.

5/07/2011

Pilihan Raya Umum Singapura

Saya fikir Dr. Mahathir sangat mengimpikan sebuah negara seperti Singapura. Maksud saya sebuah negara yang mencapai kemajuan ekonomi tanpa demokrasi. Dr. Mahathir dan Lee Kuan Yew menamakannya Nilai Asia. Ramai tahu bahawa itu tidak lebih daripada usaha menjustifikasikan kepimpinan mereka. Namun, pada mata masyarakat ekonomi di dunia, Singapura kekal menjadi bahan perbincangan menarik sementara Malaysia semakin menjemput perbincangan negatif tentang dirinya, meskipun ia pernah dijadikan bahan perbincangan menarik, terutama berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang disebut berjaya.

5/06/2011

Isme Aku Tidak Peduli

"Pada mulanya mereka datang kepada komunis, saya tidak menyatakan sikap kerana saya bukan komunis. Kemudian mereka pergi pula kepada kesatuan pekerja dan saya tidak menyatakan sikap kerana saya bukan ahli kesatuan pekerja. Selepas itu mereka mencari Yahudi dan saya tidak berkata apa-apa kerana saya bukan Yahudi. Akhirnya mereka datang kepada saya dan tidak ada sesiapa yang tinggal untuk menentang (kezaliman) ke atas saya." - (Dinisbahkan kepada) Pastor Martin Niemöller.

Sikap

Hari ini saya bangun pagi dan tertanya kepada diri sendiri "apakah aku mengamalkan sikap seorang pejaya?"

Ternyata saya dapat menjawab sendiri "tidak!"

Perlahan masa berlalu dan kelalaian juga menghambat. Banyak yang perlu dibaiki untuk mencapai lebih banyak hal bermakna dalam hidup ini.

Semoga Allah s.w.t. memudahkan perjalanan hidup saya, isteri dan keluarga kami di dunia dan akhirat.

5/04/2011

Ditipu?

Seringkali saya mendengar bahawa kenaikan harga minyak RON97 sebenarnya bukanlah satu masalah kerana kerajaan memberi alternatif RON95 yang masih secara relatifnya rendah.

Bunyinya logik. Tapi bagaimana jika saya katakan itu adalah satu cadangan untuk mengurangkan kualiti hidup?

Sebenarnya, ramai yang berfikir mudah bahawa minyak hanyalah isu naik kenderaan. Dalam ekonomi, ia mempunyai kesan berganda (multiply effects). Kesan daripadanya ialah inflasi atau kenaikan harga barang.

Anda mungkin menganggap ia tidak mungkin berlaku kerana lori tidak memakai RON97 jadi pembekal tidak mengalami kenaikan kos. Apakah memang benar ia tidak memberi kesan kepada harga barang? Anda sendiri tahu menjawabnya.

Eskay hanya tanya?

Eskay dalam kenyataan terbarunya berkata lebih kurang "saya tidak pernah menuduh Anwar tetapi hanya bertanya sama ada itu adalah beliau?"

Sekarang mari kita lihat kenyataan sumpah laknat beliau:
"A'uzubillahi minal syaitanirrajim. Bismillah irahmanirrahim. (Mengucap 3 kali). Pada hari ini, 29 April 2011, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya Shazryl Eskay Abdullah berikrar dan bersumpah seperti berikut: A'uzubillahi minal syaitanirrajim, wallahi, wabillahi, watallahi, aku bersumpah bahawa AKU DAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM BERADA DALAM paparan video yang dirakamkan pada 21 Februari 2011. DATUK SERI ANWAR IBRAHIM ADALAH PELAKU dalam video tersebut. Sekiranya aku melakukan fitnah, maka Allah akan melaknat akanku."
Sekarang ada sesiapa boleh beritahu saya di mana Eskay bersekolah?

Fitnah Zina dan Sumpah Laknat 2

Saya fikir 'mastermind' UMNO-BN tidak boleh diremehkan. Saya berpendapat begitu kerana beberapa sebab antaranya:

1. Fitnah zina (atau liwat) adalah strategi ampuh untuk menjatuhkan moral seseorang. Ia bersifat sangat personal sehinggakan sukar untuk orang lain merasa terkait, kecuali orang beragama atau mereka yang memahami persoalan hak asasi manusia (dalam kaitannya dengan individualisme).

2. Dalam konteks politik Malaysia, ia memaksa PAS dan aktivis muslim lantang menyuarakan isu-isu hudud dan sebagainya. Ini tentulah diharapkan dapat menjarakkan golongan bukan muslim daripada mendekati PAS.

Dari 1957 hingga ke 2011, sudah 54 tahun kita Merdeka. Dari 1963 hingga ke 2011, sudah 48 tahun kita bersama sebagai Malaysia. Dari jumlah itu, sekitar 1/3 daripadanya dihabiskan UMNO-BN untuk menjatuhkan seorang pemimpin yang benar-benar dapat menggugat asas kekuasaan mereka.

UMNO-BN akan terus membeli masa...

5/03/2011

Osama mati?

Saya meluat membaca kenyataan Dato' Sri Najib yang dilaporkan berkata "dunia lebih selamat dengan kematian Osama". Pengebumian Osama yang dikatakan di buat di lautan Arab menambah keyakinan kepada teori konspirasi bahawa Osama ialah watak yang diadakan bagi menjustifikasikan campur tangan Amerika di negara-negara minyak.

Isu Osama mesti dilihat dalam kerangka yang lebih luas. Kita menolak keganasan kerana ia adalah kezaliman. Kezaliman, biar apa pun bentuknya yang nyata, memang wajib ditolak sekeras-kerasnya.

Jangan hanya galak bercakap tentang kematian Osama tetapi membisu tentang kematian Altantuya!

5/02/2011

Fitnah Zina dan Sumpah Laknat

Saya ada mengingatkan seorang rakan, ustaz muda yang aktif dan kian mengukir nama dalam PAS bahawa "suka atau tidak, PAS mempunyai saham dalam isu menggembar-gemburkan isu bersabit maruah individu dan itu telah menjauhkan orang ramai daripada PAS satu ketika dulu".

Saya tegas menekankan peranan abang Mat Sabu yang memperolokkan saudara Anwar Ibrahim satu waktu dulu dalam kes yang masih dijadikan permainan oleh UMNO-BN pada hari ini. Saya yakin, sebagaimana ahli politik lain, abang Mat Sabu juga mempunyai rangkaian maklumatnya sendiri di dalam UMNO dan tidak mustahil kebencian beliau kepada saudara Anwar (sejak sekian lama) telah digunakan oleh pihak tertentu untuk membisikkan kempen jijik bagi menjatuhkan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu.

Namun, pertembungan abang Mat Sabu dan saudara Anwar pada saya lebih bersifat ideologi dalam pemikiran Islam yang melibatkan antara lain persoalan politik kekuasaan. Namun, jangan fikir pertembungan begitu tidak boleh sampai ke tahap jijik sebagaimana hidangan harian kepada masyarakat pada hari ini.