6/30/2011

Bersih 2.0 : Tuntutan 1

Ada 8 tuntutan Bersih 2.0. Yang pertama ialah pembersihan senarai pemilih.

Tuntutan ini sangat objektif kerana daftar pemilih yang bersih akan memastikan hanya mereka yang layak sahaja dapat mengundi mengikut syarat pengundian.

Senarai pemilih yang ada diragukan kerana beberapa faktor iaitu:
i) ada nama pemilih yang usianya dicatatkan ratusan tahun. Nama mereka yang telah dipastikan meninggal juga ada.
ii) terdapat sejumlah besar nama tinggal di alamat yang sama.
iii) ada rekod senarai pemilih yang boleh diragukan berdasarkan maklumat demografik yang ada. Rujuk pemerhatian abang Mat Saman Kati dalam beberapa tulisannya di MalaysiaTimes.my.
iv) ada dakwaan pengundi luar (bukan warganegara) yang didaftarkan sebagai pengundi sah.

Saya tidak menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepenuhnya dalam masalah di atas. Pengalaman bertugas bersama MAFREL dalam Pilihan Raya Kecil Ijok pada tahun 2007 memberi saya peluang untuk mendengar sebahagian daripada masalah yang ada.

Nama mereka yang mencapai usia meragukan dan juga yang telah meninggal sebenarnya ada kaitan dengan penyelarasan maklumat antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Ini kerana nama-nama ini masih kekal dalam senarai daftar pemilih disebabkan pihak keluarga atau waris si mati tidak melaporkan kematian ahli keluarga mereka.

Aduan dan alasan ini bukan baru. Saya fikir SPR sepatutnya lebih serius untuk menawarkan alternatif kepada masalah ini. Keperluan alternatif ini secara tidak langsung mengabsahkan tuntutan reformasi dalam hal ini.

Saya juga tidak mahu lekas membuat kesimpulan dalam hal sejumlah nama yang tinggal di satu rumah yang sama. Pada hemat saya, mengambil jumlah isi rumah antara 4-5 orang berdasarkan perangkaan statistik terkini, SPR sewajarnya membangunkan satu sistem data yang boleh mengesan sekiranya terdapat lebih daripada 4-5 orang pengundi. Satu jawatankuasa di peringkat negeri boleh dibentuk di mana ia melibatkan pegawai SPR, wakil setiap parti yang minat bertanding di negeri tersebut, beberapa orang profesional dan sejumlah perwakilan masyarakat yang dihormati (bilangannya boleh ditentukan) untuk melihat senarai daftar pemilih. Jika ada keraguan, satu kunjungan pengesahan boleh dibuat.

Sistem yang hampir sama juga boleh dibangunkan untuk menyemak sekiranya ada senarai pemilih yang berlainan kaum atau agama tinggal di satu tempat yang sama dan diragukan. Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak ada masalah tentang pilihan untuk tinggal bersama oleh para individu pelbagai agama dan kaum di satu tempat yang sama. Cuma, yang ditegaskan di sini ialah sekiranya jawatankuasa terbabit mendapati ada keraguan munasabah untuk memeriksanya, maka ia boleh dilakukan.

Sekiranya terdapat pengundi luar yang tidak sah, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan kerana ia melibatkan soal keselamatan negara berkaitan isu kewarganegaraan. Bagaimana mereka mendapat kad pengenalan perlu disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.

6/29/2011

Ketua

Dalam berorganisasi memang ada kelompok yang menggunakan 'peraturan umum' iaitu 'ketua sentiasa betul', atau lebih lembut lagi 'mustahil ketua berbuat silap'. Bagaimanapun, akal rasional sentiasa akan mencabar fahaman ini kerana lazimnya manusia tidak percaya bahawa ada manusia yang tidak berbuat silap. Justeru, 'peraturan umum' tadi perlu dinilai semula. Sayangnya, 'peraturan umum' yang ditambah ialah 'sekiranya ketua berbuat silap, rujuklah 'peraturan umum' yang pertama'.

Saya fikir dua 'peraturan umum' ini telah mengambil tempat yang cukup luas dalam masyarakat kita. Dalam kata lain, ia telah membudaya dalam masyrakat. Ini kerana ada faham lain yang sebenarnya perlu dirungkai iaitu 'kuasa adalah kebenaran'.

Umumnya, ramai yang berpandangan bahawa ketua boleh menyusahkan atau menentukan 'hayat pekerjaan' kita di sesuatu tempat. Oleh yang demikian, kesilapan seorang ketua disapu ke bawah lantai dan perlahan-lahan diterima sebagai satu budaya yang kukuh dan tidak boleh digugat.

Jangan terkejut jika ada yang bermatian mempertahankan ketua tersebut. Mereka tidak akan menegakkan tiang-tiang prinsip berkaitan ketua itu tetapi sebaliknya akan mencari-cari kesilapan sang pengkritik untuk menjustifikasikan bahawa kesilapan seorang ketua itu adalah sesuatu yang biasa, dan tidak perlu diselesaikan.

Falsafah

Sejak melangkah ke alam universiti, saya mula menemukan pertembungan pemikiran, antara mereka yang menghargai peranan falsafah dalam hidup dan golongan yang tidak melihat ia penting, mungkin sekadar retorika.

Saya mengkategorikan diri dalam kelompok pertama. Anda bagaimana?

6/28/2011

Sastera bicara

6/27/2011

Polis dan perhimpunan awam

Pernah seorang bekas wartawan menceritakan kepada saya pengalamannya ketika membuat liputan semasa bicara Anwar Ibrahim masih rancak berlangsung di mahkamah.

Katanya, beliau sering terdengar pegawai polis memberi arahan kepada anggotanya tentang operasi yang mahu dilakukan mereka, iaitu menangani para demonstran yang sering menunjukkan sikap mereka pada waktu itu.

Pegawai terbabit lebih kurang berkata: "Cuti kamu semua dibekukan. Padan muka kamu. Kalau kamu semua nak marah, itu di luar sana (merujuk kepada para demonstran) tempat kamu nak meluahkan rasa marah. Merekalah yang menjadi punca kenapa cuti kamu semua dibekukan".


6/20/2011

Ibrahim Ali dan Gerak Aman

Saya menghormati hasrat PERKASA untuk sama berhimpun pada 9 Julai 2011, sempena hari perhimpunan BERSIH 2.0. Saya yakin hak mereka untuk berhimpun harus dipertahankan.

Setakat ini, saya belum mendengar apa tujuan Gerak Aman selain daripada membantah BERSIH 2.0. Berbeza dengan BERSIH 2.0 yang cukup jelas menyatakan pendirian mereka berkaitan isu demokrasi, Pilihan Raya.

Apa yang kelihatan, perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman semalam menggambarkan dengan jelas bahawa merekalah yang cenderung bersifat merosakkan dan akan menimbulkan huru-hara.

Pihak polis sewajarnya menjemput kedua-dua pihak - BERSIH dan Gerak Aman (juga boleh melibatkan Pemuda UMNO yang dikatakan mahu berhimpun) untuk berunding berkaitan masa pergerakan dan juga laluan yang mahu diikuti. Tempoh selama dua jam boleh diberikan kepada kedua-dua pihak. Saya percaya BERSIH boleh menyelesaikan penyerahan memorandum ke Istana Negara dalam tempoh itu kerana matlamatnya jelas dan lokasi perhimpunan dengan jarak yang dituju itu jelas. Sementara bagi Gerak Aman, saya tidak jelas dengan tujuan mereka. Kelihatan mereka hanya mahu menggagalkan perhimpunan BERSIH, yang boleh menyebabkan tempoh dua jam yang dimaksudkan itu tidak dapat diselesaikan. Maka, pihak polis harus jelas bahawa Gerak Aman-lah yang akan menyusahkan kelancaran agenda 9 Julai 2011.

Saya percaya ini boleh dilakukan dengan pihak polis menutup laluan tertentu untuk tempoh masa tertentu. Ia boleh diumumkan di media dan juga iklan di sepanjang lebuhraya berkaitan. Ia lebih baik berbanding pihak polis membuat sekatan jalan raya yang menyusahkan lebih banyak pihak tidak berkaitan. Sekiranya ia mahu dibuat lebih cepat, pihak polis boleh mencadangkan kepada BERSIH 2.0 untuk berkumpul di Dataran Merdeka yang lebih dekat dengan Istana Negara. Saya percaya jika itu boleh berlaku, perhimpunan ini mampu diselesaikan dalam tempoh 2 jam dan seterusnya ramai peniaga akan mendapat manfaat daripada jumlah besar rakyat yang merayakan demokrasi di negara Malaysia tercinta ini.

6/19/2011

Mahathir dan Mugabe



Ini namanya hukum tarikan (Law of Attraction)

6/16/2011

Ahli falsafah berbeza

Kata Plato, "falsafah bermula dengan persoalan, atau rasa ingin tahu". Justeru, banyak aliran falsafah muncul kerana adanya beragam pandangan manusia. Namun, apa yang menarik untuk kita fahami ialah, sebanyak mana pun ahli falsafah berbeza pendapat, mereka berkongsi tujuan yang sama: untuk membesarkan sempadan pengetahuan dan pemahaman manusia dan membawa cahaya kepada kegelapan hidup manusia.

Yang kita tahu dan tidak tahu

Di kawasan pejabat saya akan sentiasa ada polis cawangan khas bertugas. Mereka ini sentiasa akan cuba mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat tertentu. Itu tugas mereka. Saya tidak ralat sangat.

Baru-baru ini banyak juga yang kami perbualkan. Meskipun banyak soalannya berkisar soal politik, ada juga persoalannya berkisar tentang soal-soal lain.

Antara satu perkara yang saya kongsikan kepadanya ialah: "kita boleh menentukan apa yang mahu diperbuat, tetapi kita tidak boleh memastikan apa akibat perbuatan kita tersebut".

Ini adalah jawapan asas kepada persoalan ekonomi yang ditanyakannya kepada saya berkaitan Buku Jingga.

Saya mengambil contoh Alam Flora yang dihubungkan dengan isu pemansuhan tol. Memang secara umumnya, bahkan saya pasti ramai daripada penduduk di bandar KL-Selangor boleh bersetuju bahawa pemansuhan tol adalah satu perkara yang sangat baik. Namun, suka atau tidak, meskipun ia sangat baik, tetap akan ada pihak merasakan itu keputusan yang kurang baik.

Sebagai contoh, mereka yang bekerja sebagai pengutip bayaran tol dan kakitangan syarikat terbabit di peringkat lain. Kesan bergandanya boleh pergi kepada keluarga dan sanak saudaranya.

Hujah ini tidak menjadikan pemansuhan tol sebagai satu perkara yang buruk tetapi ianya penting untuk dilihat sebagai sebahagian kepingan yang membentuk gambaran besar persoalan yang timbul atau bakal timbul.

6/14/2011

Roda

Kata orang hidup ni macam roda. Sekejap di atas sekejap di bawah.

Sekarang jam dah pukul 2 pagi, tidak belum tidur. Rasanya hampir dua minggu juga cuba merehatkan fikiran. Ada satu cara yang dikesan dapat membantu - membaca novel. Mungkin itu satu peringkat yang lebih ringan berbanding terus merehatkan fikiran tanpa berbuat apa-apa. Kerana tidak berbuat apa-apa boleh memberikan masalah lain untuk orang yang selalu berusaha menyibukkan diri.

Hidup sebenarnya terlalu singkat untuk berbuat pelbagai perkara. Hidup juga terlalu lama untuk tidak berbuat apa-apa.

6/10/2011

Pendidikan

Saya fikir sebahagian daripada kita mungkin terlupa bahawa pendidikan bukan sahaja persoalan pengajaran daripada seorang guru kepada anak murid tetapi juga melibatkan kesediaan belajar seorang anak murid dengan guru, dan lebih penting ialah kesediaan guru dan murid menyantuni persoalan ilmu.

Tentang persoalan kaum

Saya selalu percaya bahawa kaum bukanlah ciri pilihan manusia. Seseorang menjadi Melayu misalnya bukanlah kerana beliau memilih menjadi Melayu. Seseorang menjadi Melayu kerana mereka lahir daripada keturunan Melayu.

Pada zaman yang mengglobal ini, saya yakin bahawa ramai yang bukan 100% Melayu kerana percampuran darah yang banyak.

Maka, meskipun sesuatu itu boleh dinilai dari aspek Melayu sebagai populasi, saya fikir jalan ke hadapan untuk merungkai permasalahan hidup harus pergi lebih terperinci, iaitu persoalan individu berbanding kaum atau apa juga ciri pengenalan sosial yang menghilangkan ciri individu itu.

6/08/2011

Pengalaman bertabligh 4

Saya fikir keputusan untuk pertama kali mengikut jemaah tabligh ke Masjid Seri Petaling pada waktu itu lebih banyak didorong oleh senangnya saya dengan hubungan yang dibina.

Pertama, meskipun kami tidak pernah kenal rapat sebelum ini, para karkun senior yang membawa kami bersama sangat baik.

Kedua, mereka tidak pernah berbicara soal kepentingan diri mereka. Hampir setiap masa terluang akan diisi dengan perkongsian kisah kebesaran Allah s.w.t.. Selain itu, kami berkenalan dan mereka memberi perhatian tentang permasalahan, jika ada, untuk mereka bantu mudahkan supaya saya beroleh masa lapang untuk ikut bersama mereka.

Oleh kerana akhlak mereka, saya sentiasa berasa selamat dan melihat bagaimana kebaikan itu hidup dalam keperibadian mereka.

Meskipun apa yang diucapkan daripada mulut mereka itu boleh saja kedengaran biasa di telinga kita, namun kegigihan mereka berusaha menjadikan tiap butir kata mereka itu bertenaga dan sentiasa menyentuh jiwa dan akal-fikir saya.

Begitulah kali pertama saya membuat keputusan untuk mengikut mereka.

6/07/2011

Beberapa kata di Jakarta

Ada beberapa ungkapan yang saya kenangkan ketika berada di Jakarta. Semua kata-kata ini diungkapkan oleh pemandu tuk-tuk dan teksi di sana.

Ungkapan 1 oleh pemandu tuk tuk
"Memangnya ternampak masyarakat Cina yang menguasai ekonomi di Indonesia ini. Secara tidak sedar ia sebenarnya satu bentuk penjajahan."

Ungkapan 2 oleh pemandu teksi
"Memangnya banyak Cina yang kaya itu kerana usaha; maka tidak ada apa-apa. Masalahnya banyak yang kaya selain mereka itu kerana korupsi!"

Ini hanya sebahagian ungkapan yang saya perolehi lewat komentar isu golongan kaya dan miskin di Jakarta yang sedikit sebanyak boleh mendorong isu kaum bersamanya.

Setahun

Alhamdulillah. Dua hari lalu genaplah setahun usia perkahwinan saya dan isteri.

Kami memilih untuk bercuti ke Jakarta sejak Jumaat sehingga semalam. Ramai yang bertanya "kenapa Jakarta?". Ya, Jakarta kota yang sesak atau di sana disebut macet. Ia tak seperti Bali atau Bandung yang memang lebih segar untuk percutian santai.

Namun, kami memilih Jakarta kerana isteri belum pernah ke sana. Di sana kami punya beberapa teman yang sempat ditemui pada hari pertama sampai. Kemudian, kami lebih banyak berjalan sendiri. Membeli-belah di ITC-Mangga Dua dan Tanah Abang; mencari buku di Pasar Senen, Kwitang, Gunung Agung dan Taman Ismail Marzuki serta cuba makanan di Warung Daun serta Bumbu Desa.

Percutian kali ini mungkin beza. Namun kegembiraannya tetap ada. Syukur kerana macet di Jakarta tidak seperti selalunya kerana cuti panjang sempena sambutan Hari Lahir Pancasila.

6/02/2011

Pengalaman bertabligh 3

Saya tidak ingat bila kali pertama keluar bertabligh. Tapi saya yakin ianya selepas mengikuti beberapa siri bayan di surau. Sebelum itu saya ikut bersama rakan-rakan dan senior beriktikaf di Masjid Seri Petaling yang cukup terkenal sebagai markas jemaah tabligh.

Sebenarnya kami perlu mengeluarkan belanja seorang sebanyak RM5 untuk menaiki bas pergi-balik ke sana tetapi para karkun senior telah menampah bas tersebut dan mereka mengambil bahagian masing-masing untuk belanja kami seorang sedikit untuk membolehkan kami ke sana.

Saya membawa dua salinan pakaian dan juga beg tidur (sleeping bag) ke sana kerana kami akan beriktikaf. Kami bertolak usai Asar, selepas dikumpulkan di hadapan Kolej Canselor di UPM. Seingat saya bas tidak penuh. Hanya ada lebih sedikit dari separuh.

Sebagaimana lazimnya sebelum saya mengikuti 'rombongan jemaah' kali itu, saya duduk di sebelah seorang karkun senior yang cukup baik. Sepanjang perjalanan, selain daripada beliau bertanyakan serba sedikit latar belakang saya, sepanjang masa beliau hanya menceritakan persoalan kebesaran Allah s.w.t., kepentingan iman dan Islam serta keperluan berdakwah.

Apa yang menyebabkan saya memilih untuk ikut bersama?

Penggerak perubahan

Lama juga saya melihat dan memikirkan kenapa perubahan sukar berlaku di Malaysia? Banyak yang boleh ditulis. Tapi biarlah saya menulis sedikit demi sedikit di sini.

Pertama, saya melihat adanya 'perebutan' dakwaan bahawa 'kamilah penggerak perubahan!' antara kelompok NGO dan juga kelompok politik parti. Di celah itu muncul penggerak media yang percaya bahawa mereka mempunyai kebebasan atau keistimewaan sendiri untuk melapor dan 'jangan diusik' kerana 'kuasa media' itu boleh menamatkan serangan kepada mereka.

Ini adalah sebahagian intrik yang memang ada, tetapi wajar diminimakan jika rakyat Malaysia mahu ke hadapan.