8/29/2011

Komunisme-Sosialisme

Saya fikir antara masalah besar di Malaysia ialah kesendengan sejarah. Kesan daripadanya ialah kelahiran sejumlah kelompok masyarakat yang tidak objektif terhadap sejarah. Jumlah ini tidak sedikit.

Sebagai seorang yang meyakini pasaran terbuka sebagai dasar ekonomi terbaik, sudah tentu komunisme dan sosialisme bukanlah idea yang mesra dengan saya. Namun, saya mengiktirafnya sebagai satu percubaan baik dalam hal menyertai proses hidup bermasyarakat.

Penolakan terhadap ideologi berkenaan tidak menjadikan saya gembira dengan pandangan berlebihan terhadapnya. Sebagai contoh, semasa memandu, saya terdengar seorang deejay radio menyebut bahawa perjuangan kemerdekaan dulu antaranya ialah melawan komunis. Saya tertanya "sejak bilakah komunis menjajah negara?"

Saya tidak pernah bersetuju dengan tindakan ganas oleh sesiapa pun. Tindakan komunis dulu ada silapnya, khususnya dalam pembunuhan tanpa hak. Itu juga tidak menjadikan aktor-aktor yang menjadi benteng kepada British, penjajah sebenar itu, secara arbitrarinya benar.

Mari kita ketuk logik akal dengan bertanya diri kita, andaikan nanti negara dijajah, apakah kita akan melawan atau memilih untuk berkhidmat dengan bakal penjajah itu?

Saya tertanya apa ertinya selama ini dipukul canang agar kita jangan dijajah semula. Siapa menjajah? Siapa yang bekerjasama dengan penjajah? Siapa yang terjajah?

Mungkin sejarah Tok Janggut membunuh Sarjan Che Wan boleh menjadi sebahagian teks penting untuk direnung. Jelas, tidak semua yang melawan British itu komunis dan nasib mereka dilayan sama seperti komunis - hanya kerana mereka mempunyai satu tujuan - melawan British.

Saya fikir di sinilah tuntutan untuk membenarkan Parti Komunis Malaya (PKM) bertanding dalam Pilihan Raya itu mempunyai legitimasi dan penolakan terhadap tuntutan demokratik itu adalah tidak lebih daripada sikap komunis dan sosialis di banyak negara.

Jika PKM bertanding belum tentu saya akan mengundi mereka. Namun, saya akan sentiasa mempertahankan hak demokratik mereka untuk menyertai pilihan raya.

Fakta harus dinyatakan sebagai fakta. Bahawa memang ada orang Melayu yang berkhidmat dengan British dan ada orang Melayu memilih penentangan terhadap British secara terbuka. Malangnya, komunis dan sosialis hanya dimomokkan sebagai agenda orang Cina di Malaysia dan ia dibentuk sebagai pertembungan orang Melayu dan orang Cina. Kepada yang melakukannya, saya mahu katakan bahawa tindakan anda jijik dan wajib dibetulkan!

8/23/2011

Bermaharajalelanya kebodohan

Saya tidak pasti bagaimana Sinar boleh merumuskan matlamat gerakan Kristian seperti yang dilaporkan di sini.

Saya fikir ia adalah sikap melulu dan berlebihan. Seseorang tidak perlu menjadi Kristian untuk melakukan hal-hal yang didakwanya. Bukan sahaja Kristian, bahkan yang lain-lain.

8/22/2011

Tak jumpa

Saya mengesan 'kehilangan' dua buah buku semasa mengemas rumah dan juga meja di pejabat.

1) Hikayat Munshi Abdullah dan
2) Menangani Perubahan

Harapnya tak betul-betul hilang tetapi sekadar salah letak dan belum berjumpa.

8/14/2011

Golongan Kiri



Saya sibuk sampai tak sedar bahawa buku yang telah diterjemahkan saya beberapa bulan lepas telah siap dicetak dan dijual pada harga RM18 di pasaran. Saya menghargai isu-isu perjuangan golongan kiri meskipun selalu berbeza pendapat tentang kaedah menanganinya. Saya lebih cenderung kepada pendekatan ideologi libertarianisme berbanding sosialisme dan komunisme. Namun, itu tidak menjadikan saya ralat untuk menterjemahkan hasil kerja intelektual awam Malaysia yang telah meninggal dunia, saudara Rustam Sani, anak kepada pejuang kemerdekaan, Ahmad Boestamam.

Selepas ini harus segera mengemaskini terjemahan Bastiat yang telah lengkap dan menyiapkan dua kerja buku yang lain!