12/27/2011

Akhir Tahun

Saya demam pada hari Rabu lalu. Hanya mulai kebah pada pagi Sabtu. Sabtu itu saya sudah berada di Setiawan kerana menjengok adik ipar yang baru melahirkan anak kedua.

Ya, umat Kristian baru menyambut Krismas. Semoga mereka bergembira merayakannya. Sesungguhnya bagi umat Islam, Nabi Isa a.s. itu juga adalah seorang daripada nabi yang wajib dipercayai. Tahun ini saya memuatkan surat kepada pemuka Kristian yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w..

Tak lama lagi Tahun Baru Masehi. Saya akan pulang ke Perlis bertemu keluarga di sana dan kembali semula ke Shah Alam untuk memulakan azam baru untuk menjadi insan yang lebih baik.

12/24/2011

Akupunktur

Tidak. Ia bukan nama sebuah band punk. Akupunktur ialah sejenis kaedah merawat penyakit. Ia dipercayai bersusur galur dari China. Petang tadi saya mencubanya. Asalnya mahu buat bekam, tapi ada beberapa saran maka saya tangguhkan.

Ketika demam tak dianjurkan berbekam. Lagi, dikatakan Ibnu Sina memberi saran ia dibuat pada 17,19 atau 21 haribulan (mengikut kalendar Hijrah). Saya sebenarnya mula terasa nak berbekam ketika aktif bersama jemaah tabligh dulu. Nabi s.a.w. memang menganjurkan bekam sebagai satu kaedah perubatan yang terbaik. Tapi bayangkan, hampir 10 tahun saya ingin, tapi tak pernah mencubanya.

12/16/2011

Pearl Harbour

Saya punya kenangan tersendiri bila disebut tentang Pearl Harbour, filem yang ditonton buat kali pertama semasa ke Johor sekitar tahun 2001.

Tidak, saya tidak mahu menulis tentang filemnya yang tak kurang menarik. Saya mahu menulis sedikit tentang dokumentari berkaitannya yang disiarkan di saluran Sejarah.

Saya fikir 'mat saleh' nampak hebat kerana mereka menyimpan banyak rekod dalam pelbagai bentuk. Malam ini saya menemukan kisah tahanan Jepun-Amerika pasca serangan Pearl Harbour. Ia tidak diketahui ramai, tetapi mereka berani memuatkannya untuk meluruskan sejarah.