Maklumat Penulis


Berasal dari negeri Perlis Indera Kayangan. Anak ketiga daripada 6 orang adik beradik (sebelum kematian kakak kemudiannya). Kini telah berkahwin dan menetap di Shah Alam.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indra dari tahun 1989 hingga 1994. Kemudian mengikuti pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma dari tahun 1995 hingga tahun 1999.

Selepas itu menyambut tawaran menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dari tahun 2000 sehingga 2006 dalam bidang Diploma Perhutanan dan Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan dengan pengkhususan dalam bidang Pengurusan Sumber Rekreasi.

Sepanjang pengajiannya di universiti, beliau pernah terlibat sebagai penunjuk ajar amali kursus serta menjalankan kegiatan rekreasi luar yang pelbagai khususnya pendakian gunung. Beliau telah dianugerahkan sijil merit semasa menghadiri kursus 25-hari di Outward Bound Malaysia, Lumut; sekolah Outward Bound ke-2 tertua di dunia.

Mempunyai minat yang pelbagai. Sejak usianya 12 tahun telah mewakili negeri Perlis dalam Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) sehingga 1997 sebelum permainan itu tidak dipertandingkan di Kejohanan MSSM pada tahun 1998 dan 1999. Pernah menjuarai kategori remaja (bawah 18 tahun) Kejohanan Catur Merdeka Tertutup Perlis sebanyak 3 kali, bermula seawal usia 13 tahun (1995) dan pada tahun 1998 dan 1999 dan mewakili kontinjen Perlis ke Kejohanan Catur Merdeka Kebangsaan dari tahun 1995 hingga 1998. Memilih untuk tidak menyertai Kejohanan tersebut pada tahun 1999 kerana jarak waktu yang terlalu hampir dengan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Minat ini diteruskan semasa pengajian di Universiti dan pernah mengetuai pasukan catur Universiti tersebut, termasuk ketika menyertai Pertandingan Catur Dunia Antara-Universiti pada tahun 2004 bertempat di Universiti Malaya (UM), dan kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) pada tahun 2005 di  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan 2006 di Universiti Sains Malaysia (USM).

Pernah mewakili Perlis dalam Kejohanan Ragbi Sentuh kategori bawah 12-tahun (1994) di Selangor dan Kejohanan Ragbi bawah 18-tahun (1999) di Pahang untuk Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Beliau juga pernah menyertai Kejohanan Antara Sekolah Primer bersama pasukan ragbi sekolahnya.

Pernah mewakili sekolahnya dalam sukan Bola Sepak Piala Coca-Cola bawah 16-tahun dan Kejohanan Sekolah Primer selain menyertai pasukan Olahraga sekolahnya bagi kategori  bawah 15-tahun yang memenangi emas untuk pertandingan lari berganti-ganti 4x100 meter.

Selain sukan dan permainan, turut menghargai Seni. Pernah menjadi penganjur Malam Puisi Kosovo semasa masih bersekolah dan cuba membacakan sajak, menyanyi nasyid dan pertunjukan teater dalam pelbagai pertunjukan semasa beliau berada di universiti. Beliau juga minat bermain muzik dan pernah bermain gig di Perlis bersama kumpulan muzik Flossy Distortion selain berhibur bersama teman-temannya dalam banyak pertunjukan semasa program perkhemahan.

Meskipun terdedah dengan persoalan politik sejak kecil melalui kegiatan ibu-bapanya, hanya mula minat mengikuti perkembangan politik sejak Reformasi 1998. Sejak itu mula belajar mengenali, memahami dan mengambil sikap yang lebih jelas terhadap pelbagai isu di sekitarnya, termasuk persoalan agama, falsafah, ekonomi dan sosial.

Semasa di kampus pernah diangkat menjadi pimpinan mahasiswa di pelbagai peringkat antaranya menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Perhutanan dan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Selain itu pernah mewakili delegasi Malaysia dalam pelbagai program di peringkat ASEAN di bawah anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Yayasan Aman Sasakawa (SPF), selain menerima tajaan Rotary Fujisawa, Jepun untuk lawatan sambil belajar ke negara matahari tersebut.

Minat kepada pelbagai isu mendorong untuk bekerja sebagai Pegawai Penyelidik di Malaysia Think Tank, London (MTT). Kekal menjadi zamil di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS, nama baru MTT) selepas diambil bekerja khusus untuk menyelaras Kajian Islam dan Demokrasi di Merdeka Center for Opinion Research (Merdeka Center), dengan kerjasama Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan (ISTAC), Center for Public Policy Study (CPPS) serta International Institute for Advanced Islamic Studies (IAIS). Projek ini dijalankan di bawah tajaan the Asia Foundation.

Semasa bertugas sebagai Pegawai Penyelidik di MTT telah menerima biasiswa Frederic Bastiat untuk menghadiri kursus musim panas Cato University yang diselaras oleh Institute Cato, antara badan pemikir bebas paling berpengaruh di Amerika Syarikat. Kemudian pernah mengikuti kursus asas penyelidikan dasar awam di India selama satu bulan dan kursus ekonomi-politik musim panas anjuran Universiti Georgetown dengan kerjasama Universiti Hong Kong di Hong Kong selama 3 minggu.

Beliau pernah dijemput oleh pelbagai rancangan televisyen di Astro Awani dan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) untuk berkongsi pandangan dalam pelbagai isu. Selain itu, beliau banyak membina pengalaman dengan melibatkan diri dalam forum awam sebagai moderator, panelis dan penceramah. Beliau juga belajar menulis dan menyampaikan pemikirannya di banyak tempat khususnya media online.

Setakat ini telah menterjemah 5 buah buku dan menulis 2 buah buku sendiri.